Orang ramai mengunjungi Karnival Kerjaya Jobcare Selangor 2024 untuk mencari peluang pekerjaan di Dewan Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, Ampang pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENSISELANGOR

Graduan puji inisiatif Selangor anjur karnival kerjaya, tawar kerja pelbagai bidang

AMPANG JAYA, 17 OGOS: Graduan Universiti Pengurusan & Sains (MSU) memuji inisiatif Kerajaan Negeri menghimpunkan puluhan syarikat yang menawarkan kerja pelbagai bidang di Karnival Kerjaya JobCare Hulu Langat hari ini.

Nik Ain Fazlin Nik Abdul Rahim yang mengikuti beberapa sesi temuduga di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah di sini berharap ada syarikat sudi mengambilnya kerja.

Nik Ain Fazlin Nik Abdul Rahim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Memang banyak jawatan ditawarkan termasuk pengurusan atasan. Peluang ini sangat bagus terutama untuk graduan yang baharu tamat belajar, dapat elakkan kami mengganggur.

“Saya harap usaha saya ini mendatangkan hasil. Sesi temuduga juga berjalan lancar dan harap ada rezeki saya,” kata yang hadir ditemani ibunya.

Nik Ain antara ribuan peserta yang hadir bagi mencuba nasib mendapatkan pekerjaan yang ditawarkan dari lebih 30 syarikat.

Sementara itu eksekutif pembangunan insan dan ekonomi Lembaga Zakat Selangor (LZS) berharap lebih ramai golongan asnaf yang tiada pekerjaan untuk datang ke karnival berkenaan.

Menurut Zeenat Karim, LZS menawarkan hampir 500 peluang kerja dari pelbagai syarikat kepada golongan berkenaan.

Zeenat Karim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“LZS menjadi platform untuk syarikat yang bekerjsama dengan kami mendapatkan pekerja.

“Jadi hari ini LZS buka kaunter mewakil syarikat terbabit untuk tawarkan pekerjaan kepada golongan asnaf,” katanya.

Terdahulu EXCO Sumber Manusia V Papparaidu ketika melawat karnival berkata hampir 5,000 peluang kerjaya termasuk gaji melebihi RM5,000 ditawarkan melibatkan pelbagai bidang termasuk pembuatan, perkhidmatan dan perkilangan yang beroperasi di dalam negeri.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu (kanan) menyantuni orang ramai dalam Karnival Kerjaya Jobcare Selangor 2024 di Dewan Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, Ampang pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Tahun ini karnival menawarkan kira-kira 35,000 peluang pekerjaan menerusi sembilan sesi jelajah dengan tigga sudah berlangsung di Hulu Selangor pada 29 Jun, Petaling Jaya (17 Julai) dan Kuala Langat (10 Ogos).

Program diperkenal pada 2022 akan diteruskan di Dewan Beringin Taman Seri Gombak (21 September), Dewan Hamzah Klang (5 Oktober), Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor (19 Oktober).

Daerah lain, Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang (16 November) dan Dewan Tun Razak, Sabak Bernam (14 Disember).

 

 


Pengarang :