Seorang lelaki menggantung gambar pemimpin Hamas Ismail Haniyeh yang dibunuh awal pagi Rabu lalu di Iran di kem pelarian Burj al-Barajneh Palestin di Beirut, Lubnan pada 31 Julai 2024. Foto REUTERS
AGENDAGLOBAL

Hamas mulakan rundingan pilih pengganti Ismail Haniyeh

GAZA CITY, 4 OGOS: Hamas semalam mengumumkan kepimpinannya memulakan proses untuk memilih ketua biro politik yang baharu selepas pembunuhan Ismail Haniyeh di Tehran.

“Susulan kematian pemimpin kami (Haniyeh), kepimpinan pergerakan memulakan proses rundingan dalam kalangan kepimpinan dan institusi penasihatnya bagi memilih ketua baharu untuk pergerakan ini,” Anadolu memetik kenyataan Hamas.

Menurut kenyataan itu, pembunuhan Haniyeh akan hanya menjadikan Hamas dan penentangan Palestin lebih kuat dan lebih berazam untuk meneruskan tindakannya.

Hamas berkata pihaknya akan mengumumkan hasil rundingan sebaik sahaja selesai.

Haniyeh dibunuh pada Rabu lalu selepas menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baharu Iran, Masoud Pezeshkian.

Pengawal peribadi Haniyeh turut terbunuh dalam kejadian itu.

– BERNAMA-ANADOLU


Pengarang :