Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) siap menurap jalan rosak di Jalan Khamis dan Jalan Belimbing, Meru, Klang pada Isnin dan 2 Ogos lalu. Foto X Infrasel
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Infrasel terima lebih 680 aduan jalan rosak, komited baiki tempoh 24 jam

SHAH ALAM, 16 OGOS: Syarikat penyelenggara jalan negeri, Infrasel Sdn Bhd (Infrasel) menerima 689 aduan kerosakan jalan raya sejak 2021 sehingga Julai lalu.

Infrasel menerusi laman X memaklumkan jumlah aduan meningkat setiap tahun dengan 105 aduan pada 2021, 194 aduan (2022), 156 aduan (2023) dan 234 aduan setakat Julai tahun ini.

Berdasarkan perkongsian data, daerah Klang mencatat aduan tertinggi iaitu 298 aduan diikuti Petaling (174), Hulu Langat (74), Gombak (40), Kuala Selangor (38), Sepang (26), Kuala Langat(18), Hulu Selangor (11) dan Sabak Bernam (10).

“Bagaimanapun, sebagai maklum balas, Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor bersama Infrasel telah melaksanakan 19,474 tampalan sejak 2021 hingga Julai lalu.

“Tampalan jalan berlubang sepanjang tahun tersebut mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan jalan raya berada dalam keadaan baik dan selamat untuk pengguna,” maklumnya.

Infrasel turut menggalakkan orang ramai terus membuat aduan dengan memuat naik ciapan di X bersama hashtag #INFRASEL #NamaJalan #Daerah.

Sebelum ini, EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata Projek Turapan Mega diteruskan tahun ini melibatkan peruntukan RM20 juta bagi memastikan jalan dalam keadaan baik sekali gus menjamin keselamatan pengguna.

Menerusi peruntukan tambahan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) itu, projek melibatkan semua laluan termasuk jalan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kampung.


Pengarang :