Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil mengedarkan Jalur Gemilang kepada peniaga dan orang ramai di sekitar pasar pagi PPR Kerinchi pada 18 Ogos 2024. Foto Facebook BERNAMA
AGENDANASIONAL

Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang rancak menjelang 31 Ogos, semarak Jiwa Merdeka

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang yang sedang dilaksanakan dijangka bertambah rancak dalam tempoh seminggu sebelum menjelang Hari Kebangsaan 31 Ogos nanti.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata selain rumah, banyak bangunan kerajaan dan swasta juga mula mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing untuk bersama-sama menyemarakkan semangat Jiwa Merdeka.

“… kita mula dengan warga kementerian serta penjawat awam dan kita sentiasa memberikan peringatan. Saya percaya dalam seminggu dua akan datang, aktiviti mengibar Jalur Gemilang di rumah masing-masing akan semakin rancak, terutama menjelang 31 Ogos.

“Alhamdulillah, kita nampak sekarang ini banyak bangunan mula memperagakan Jalur Gemilang. Kita berharap program 1 Rumah 1 Jalur Gemilang mencapai objektifnya,” katanya ditemui selepas mengedarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan di sekitar pasar pagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, hari ini.

Mengenai program itu, Fahmi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata edaran Jalur Gemilang itu untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme penduduk di kawasan tersebut menjelang Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia.

Justeru, beliau berharap usaha itu dapat menyuntik rasa cinta kepada negara dan rakyat, khususnya penduduk Lembah Pantai dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah, premis perniagaan dan kenderaan masing-masing.

“Sedikit peringatan, pastikan Jalur Gemilang yang dikibarkan dalam keadaan baik, tidak lusuh, tidak koyak dan dipasang dengan cara betul. Untuk maklumat lanjut, anda boleh hubungi Jabatan Penerangan atau muat turun panduan terperinci mengenai tata cara mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Program Edaran Jalur Gemilang tersebut dianjurkan Jabatan Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menerusi Komuniti Madani Pantai Halt serta Polis Diraja Malaysia.

Kira-kira 1,000 Jalur Gemilang dibekalkan untuk diagihkan kepada penduduk seperti peniaga dan pengunjung pasar pagi PPR Kerinchi.

– BERNAMA


Pengarang :