Antara pengamal media yang menyertai Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2023 di Ipoh pada 27 Mei 2023. Foto Facebook Kementerian Komunikasi dan Digital
AGENDANASIONAL

Insentif rebat Rahmah pengamal media diteruskan bagi bil Ogos

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Insentif Rebat Rahmah Pengamal Media iaitu tawaran rebat bil telefon pelan pascabayar kepada pengamal media secara sekali beri, dilaksanakan bagi bayaran bil Ogos ini sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan hari ini memaklumkan insentif yang diperkenalkan tahun lepas itu diteruskan tahun ini seperti diumumkan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil semasa Majlis Kemuncak Hari Wartawan Nasional (Hawana) Mei lepas.

“Insentif ini terbuka kepada pengamal media berstatus warganegara Malaysia, pemegang Kad Perakuan Media (belum tamat tempoh) yang dikeluarkan oleh Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) dan sedang melanggan pelan pascabayar dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (telco) terlibat.

“Pengamal media yang layak disarankan untuk mengemas kini nombor telefon pascabayar dan maklumat lain yang berkaitan melalui Sistem eMedia Japen di pautan http://emedia.penerangan.gov.my/ sebelum 31 Ogos 2024 untuk menikmati insentif ini,” katanya.

Menurut kenyataan, pemberian rebat itu terhad kepada bayaran komitmen bulanan sahaja serta tertakluk kepada terma dan syarat telco terlibat iaitu CelcomDigi, Maxis, UMobile, TM (Unifi Mobile), Tunetalk, XOX Com dan YTL Communications (YES).

Maklumat lanjut mengenai insentif itu boleh dirujuk menerusi Soalan Lazim (FAQ) di pautan https://www.komunikasi.gov.my/en/awam/faq.

-BERNAMA


Pengarang :