Penerima BINGKAS P Selvarani, 39, membeli barangan keperluan asas ketika tinjauan Media Selangor di sebuah pasar raya di Gombak pada 15 Ogos 2022. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
ADNSELANGOR

Isi rumah bawah RM5,000 di DUN Taman Templer dipelawa mohon BINGKAS

GOMBAK, 2 OGOS: Isi rumah berpendapatan bawah RM5,000 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Taman Templer dipelawa memohon Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS).

Wakil rakyatnya Anfaal Saari berkata bantuan RM3,600 setahun itu boleh dimohon sehingga 15 Ogos menerusi laman sesawang www.bingkasselangor.com.

EXCO Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari ditemui pemberita selepas merasmikan program Perlindungan Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak 2024 di SMK Darul Ehsan, Gombak pada 1 OGOS 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIA SELANGOR

“Setakat ini di 475 penduduk DUN Taman Templer telah memohon dan masih ada kuota kekosongan, kita amat mengalu-alukan permohonan boleh dibuat secara dalam talian.

“Selepas 15 Ogos ini kita minta pemohon membuat semakan menerusi aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) untuk menyemak status permohonan,” katanya ketika ditemui dalam satu program di sini semalam.

Inisiatif BINGKAS menggantikan Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan KISS IT (Ibu Tunggal) merupakan skim terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) membabitkan peruntukan RM108 juta.

Menerusinya, setiap keluarga yang layak akan menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun dan bayaran diagihkan menerusi aplikasi e-dompet Wavpay bagi memudahkan penerima berbelanja.

Pentadbiran negeri menetapkan 16 barangan asas yang boleh dibeli penerima BINGKAS antaranya beras, daging, ayam, ikan, sayur, telur, kicap, mi, bihun, tepung, roti, rempah ratus, garam, gula, sos, kicap dan minyak masak.

Bagi memastikan lebih ramai keluarga memerlukan menerima manfaat, Kerajaan Negeri pada 5 Julai lalu melonggarkan syarat permohonan BINGKAS kepada isi rumah bawah RM5,000 berbanding RM3,000 sebelum ini.


Pengarang :