Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2024 di Sunway Pyramid Convention Centre, Petaling Jaya pada 8 Mac 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Jangan rakam, segera lapor jika kanak-kanak didera, diabai

SIBU, 3 OGOS: Orang ramai digesa tidak merakam video untuk media sosial jika melihat ada kanak-kanak mengalami penderaan atau pengabaian, sebaliknya menghubungi pihak berkuasa atau Talian Kasih 15999.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri berkata masyarakat harus tahu apa yang perlu dilakukan jika melihat sesuatu yang mencurigakan.

“Laporkan segera kepada polis atau Talian Kasih 15999. Jangan hanya rakam video untuk media sosial, tapi laporkan kepada kami,” katanya berucap semasa merasmikan Program Advokasi Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sibu di sini hari ini.

Ahli Parlimen Santubong itu berkata Pasukan Pelindung Kanak-Kanak (PPKK) juga perlu diberikan peluang untuk lebih mengenali kanak-kanak di kawasan masing-masing.

Beliau berkata hal itu membolehkan mereka memainkan peranan dan tanggungjawab sebagaimana yang digariskan dalam Garis Panduan PPKK dan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak (PAKK).

Mengenai program advokasi itu, beliau berkata penganjurannya bertujuan meningkatkan kefahaman kanak-kanak tentang situasi golongan itu yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan.

“Di situlah kita beri peluang kepada kanak-kanak mengetahui apa yang perlu dilakukan apabila berlaku sesuatu pada dirinya atau pada orang lain yang mereka kenali,” katanya sambil menambah program itu dianjurkan bersama pihak polis dan pihak yang berkaitan terutama yang menjalankan penguatkuasaan undang-undang untuk melindungi kanak-kanak.

Nancy berkata kementeriannya berharap agar semua pihak dapat bersama-sama mencari penyelesaian yang tepat dalam mengatasi permasalahan sosial berkaitan kanak-kanak serta menjaga keselamatan dan melindungi golongan itu agar dapat mengekang peningkatan kes penderaan dan pengabaian.

-BERNAMA


Pengarang :