Orang ramai menghadiri jelajah JobCare Selangor daerah Kuala Langat di Dewan Sri Jugra pada 10 Ogos 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jelajah JobCare Kuala Langat dapat sambutan, lebih 300 hadir

KUALA LANGAT, 10 OGOS: Siri jelajah JobCare Selangor di daerah ini yang berlangsung di Dewan Sri Jugra dapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran lebih 300 individu setakat jam 12 tengah hari tadi.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata setakat ini lima daripada mereka telah diterima bekerja serta-merta dan selebihnya akan menjalani sesi temu duga kali kedua.

“Ini merupakan lokasi jelajah yang ketiga dan akan ke enam lagi lokasi sepanjang tahun ini. Sambutan diterima amat menggalakkan dengan penglibatan 33 syarikat pelbagai bidang yang tawarkan jawatan kosong.

“Sebenarnya jelajah ini tidak hanya terbuka untuk pencari kerja tetapi para pelajar juga dipelawa hadir bagi melihat tawaran pekerjaan di pasaran yang sekaligus membantu mereka pada masa hadapan,” katanya ditemui.

Sementara itu, R Harish Raj,18, berharap dengan kehadirannya ke program jelajah pekerjaan dapat mempertemukan beliau dengan pekerjaan yang bersesuaian.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu bergambar bersama peserta elajah JobCare Selangor daerah Kuala Langat pada 10 Ogos 2024. Foto SITI ROHAIZAH ZAINAL/SELANGORKINI

“Saya telah tamat persekolahan dan sememangnya mencari pekerjaan. Saya bercadang untuk kumpul gaji bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi pada tahun hadapan.

“Ayah perlu bekerja dan menyara empat lagi adik yang masih bersekolah. Saya tidak mahu membebankan ayah dan mahu mencari sendiri duit untuk sambung pelajaran,” katanya.

Bagi Rizq Fikri Azmi,24, pula beliau yang menetap di Beranang sanggup memandu hampir dua jam untuk hadir ke jelajah pekerjaan diadakan di Banting hari ini.

“Sebelum ini saya bekerja sebagai juruteknik dan bahagian pemasaran tetapi berhenti kerja. Apabila mengetahui ada jelajah ini saya ambil keputusan untuk hadir walaupun agak jauh.

“Bagi saya jelajah ini bagus kerana kami yang sedang mencari pekerjaan boleh menghantar resume di beberapa syarikat yang bersesuaian dengan kelayakan sekaligus jimat masa,” ujarnya.

Sebelum ini, Papparaidu yang juga wakil rakyat Banting memaklumkan kita-kira 35,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Jelajah JobCare Selangor yang berlangsung di sembilan daerah.

Setakat ini, jelajah ini telah diadakan di Hulu Selangor pada 29 Jun, Petaling Jaya (17 Julai) dan hari ini di Kuala Langat.

Jelajah akan diteruskan di Dewan Perbandaran MPAJ, Hulu Langat (17 Ogos), Dewan Beringin Taman Seri Gombak (21 September), Dewan Hamzah Klang (5 Oktober) dan Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor (19 Oktober).

Seterusnya di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang (16 November) dan Dewan Tun Razak, Sabak Bernam (14 Disember).


Pengarang :