EXCO Sumber Manusia V Papparaidu (tengah) bersama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon beramah mesra dengan orang ramai yang mengunjungi Karnival Kerjaya Jelajah Jobcare Selangor 2024 di Menara BAC, Petaling Jaya pada 17 Julai 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Jelajah JobCare tawar 35,000 peluang kerja, diteruskan di Kuala Langat esok

SHAH ALAM, 9 OGOS: Kira-kira 35,000 peluang pekerjaan ditawarkan dalam Jelajah JobCare Selangor berlangsung di sembilan daerah, kata EXCO sumber manusia.

V Papparaidu berkata dua siri jelajah selesai diadakan di Hulu Selangor pada 29 Jun manakala Petaling Jaya (17 Julai).

Katanya, program diteruskan di Dewan Sri Jugra (Kuala Langat) esok, Dewan Perbandaran MPAJ, Hulu Langat (17 Ogos) dan Dewan Beringin Taman Seri Gombak (21 September).

Daerah lain, Dewan Hamzah Klang (5 Oktober), Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor (19 Oktober), Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang (16 November) dan Dewan Tun Razak, Sabak Bernam (14 Disember).

“Lebih 30 majikan terlibat dengan pelbagai jawatan dan bidang pekerjaan ditawarkan. Jadi bagi sesiapa yang mencari pekerjaan boleh datang ke jelajah ini,” katanya ditemui semalam.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu memaklumkan lebih 4,000 jawatan kosong ditawarkan di Karnival Jelajah JobCare Selangor di Dewan Hamzah, Klang pada 3 Februari 2024. Foto SOFIA NASIR/SELANGORKINI

Dalam pada itu katanya Kerajaan Negeri berhubung rapat dengan kesatuan pekerja kilang syarikat pengeluar tayar Goodyear susulan penutupan operasi berkuatkuasa 30 Jun bagi membantu pekerja mencari pekerjaan baharu.

“Setelah pertemuan dengan ketua kesatuan pada 26 Mac, dimaklumkan 316 pekerja terjejas susulan penutupan kilang itu.

“Jadi kita memang sentiasa kemas kini jadual jelajah JobCare dan mengalukan penyertaan pekerja yang terkesan untuk menghadiri program temu duga kerjaya,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor untuk membantu pekerja kilang syarikat itu mencari pekerjaan baharu.

Peserta menghadiri temu duga program Jelajah JobCare Selangor di Dewan Taman Gombak, Gombak 4 Jun 2022. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI

Pengarang :