Salah sebuah rumah yang runtuh di bandar Osaki, dalam wilayah Kagoshima, barat daya Jepun, susulan gempa bumi yang melanda kawasan itu pada 8 Ogos 2024. Foto Kyodo/REUTERS
AGENDAGLOBAL

Jepun keluar amaran gempa bumi besar, lapor media

Agensi Meteorologi Jepun (JMA) mengeluarkan amaran gempa bumi besar melibatkan sehingga 707 daerah di 29 wilayah di bahagian selatan negara itu, dari wilayah Okinawa sampai ke Ibaraki, susulan gempa bumi berukuran 7.1 magnitud yang menggegarkan Miyazaki semalam.

Kawasan yang menganjur di pesisir Lautan Pasifik itu mempunyai sejarah gempa bumi besar, kata agensi berkenaan.

“Kemungkinan gempa bumi berlaku (di kawasan itu) kini beberapa kali lebih besar berbanding biasa.

“Kami tidak boleh mengatakan dengan tepat bila dan di mana ia akan berlaku tetapi kami mahu orang ramai meningkatkan persiapan mereka,” kata ketua panel JMA, Naoshi Hirata seperti dipetik The Asahi Shimbun.

Dalam amarannya JMA meminta penduduk di kawasan terlibat supaya berjaga-jaga sehingga minggu depan untuk menghadapi kemungkin gempa bumi besar.

Semalam, gempa bumi pada 4.42 petang waktu tempatan (3.42 petang waktu Malaysia) di wilayah Miyazaki berlaku pada kedalaman 30 kilometer dan berpusat 30 kilometer dari pesisir pantai Laut Hyuga.

Susulan gempa bumi itu, JMA mengadakan satu mesyuarat khas pakar yang kemudian mengeluarkan amaran gempa bumi besar peringkat kedua.

In adalah amaran pertama yang dikeluarkan sejak sistem amaran itu diperkenalkan pada November 2017. Amaran peringkat tertinggi menetapkan prosedur pemindahan sebelum kejadian.

Gempa bumi di kawasan sama sebelum ini berlaku secara berangkai dalam masa yang singkat antara satu sama lain.

Penyelidik sebelum ini meramalkan kemungkinan gempa bumi dengan magnitud antara 8 hingga 9 di kawasan sama dalam masa 30 tahun akan datang.


Pengarang :