Penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Selangor membuat pemeriksaan kenderaan dalam Ops Khas sempena Hari Raya Aidiladha (HRAA) 2024 di Plaza Tol Sunway, Petaling Jaya pada 20 Jun 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

JPJ perinci sistem, selaras program peralihan lesen B1, B2 ke B

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang memperincikan sistem dan penyelarasan proses bagi program peralihan khas yang perlu dijalani pemegang Lesen Memandu Malaysia (LMM) kelas B1 dan B2, sebelum mendapatkan LMM kelas B (motosikal berkuasa tinggi).

Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli berkata pihaknya sedang meneliti perkara berkenaan sebelum diumumkan dalam masa terdekat.

Beliau berkata program peralihan khas yang bermula 1 Oktober ini, tidak diberikan secara automatik sebaliknya pemegang lesen perlu menjalani latihan dua jam sahaja sebelum menduduki ujian amali di institut memandu.

“Kerajaan sudah menetapkan syarat untuk menyertai program ini iaitu individu terbabit telah memegang LMM kelas B1 atau B2 melebihi tempoh 10 tahun, tiada saman dan tidak mempunyai senarai hitam (kesalahan JPJ).

“Masih ada ujian amali iaitu mereka perlu menunggang motosikal lebih 500cc dan penilaian serta kelulusan daripada pegawai JPJ bagi menentukan mereka (penunggang) ini layak atau tidak (mendapatkan lesen kelas B),” katanya dalam satu temubual di Wisma Bernama semalam.

Aedy Fadly berkata calon yang menyertai program itu akan dikenakan yuran RM160, berbanding proses bagi mendapatkan LMM kelas B sebelum ini membabitkan dua jam kelas teori dan 9.5 jam latihan litar dengan bayaran RM900.

Pada 2 Ogos lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan tiada lagi program mendapatkan LMM Kelas B1 di institut memandu akan dibuka kepada orang ramai bermula 1 Oktober ini.

Loke berkata dengan mendapatkan LLM kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah sahaja bagi kelas B1.

– BERNAMA


Pengarang :