Jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang bersama jurulatihnya John Beasley. Foto Facebook Azizulhasni Awang
AGENDANASIONAL

Jurulatih berbasikal trek negara dapat taraf penduduk tetap

PARIS, 11 OGOS: Selepas 18 tahun berkhidmat dengan pasukan berbasikal trek kebangsaan, John Beasley kini boleh menggelarkan Malaysia sebagai rumahnya.

Jurulatih berusia 62 tahun itu berkongsi baharu sahaja mendapat pengesahan sebagai penduduk tetap kira-kira tiga minggu lepas.

“Saya dapat panggilan telefon, antara hari yang paling gembira, memaklumkan saya mendapat taraf penduduk tetap. Saya rasa diterima dan dihargai, dan saya memang rasa saya ‘orang putih’ Malaysia…saya cakap pada semua saya berasal dari Genting Highland,” katanya bergurau.

“Tetapi saya bangga, saya sayangkan Malaysia. Isteri saya (Vicky Beasley) gembira di sini (Malaysia). Saya sedang cuba belajar Bahasa Malaysia. Saya boleh ikut perbualan anak buah (atlet di bawah kendaliannya) tetapi sukar untuk saya tangkap semuanya, tapi saya komited untuk perbaiki,” katanya.

Warga Australia itu mengambil peranan sebagai jurulatih berbasikal trek negara pada 1 Jan 2006 dan merupakan tulang belakang kepada perkembangan Datuk Azizulhasni Awang dari zaman remaja sehinggalah menjadi pelumba keirin bertaraf dunia termasuk memenangi emas Kejohanan Dunia 2017 dan dua pingat Olimpik iaitu gangsa pada Rio 2016 dan perak di Tokyo 2020.

Sukan Olimpik Paris 2024 merupakan tugasan Beasley yang terakhir sebagai jurulatih dan selepas ini beliau akan menggalas jawatan pengarah teknikal pasukan kebangsaan.

Beasley menyifatkan hubungannya dengan Mohd Azizulhasni sebagai bapa angkat (godfather) kepada atlet berusia 36 tahun itu setelah 17 tahun melatih pelumba itu.

Selepas kempen Olimpik kelima Mohd Azizulhasni berakhir dengan kekecewaan susulan tersingkir dalam acara keirin semalam, Beasley percaya sudah tiba masanya untuk ‘Pocket Rocketman’ berhijrah ke fasa baharu hidupnya.

“Beliau telah mencurahkan bakti selama 17 tahun kepada negara, ia merupakan kerjaya yang panjang dan gemilang dan saya berpendapat sekarang masanya untuk beliau berpindah ke fasa baharu hidupnya…mahu lihat beliau menerajui sukan berprestasi tinggi di Malaysia dalam beberapa tahun ini.

“Mungkin beliau terus bertanding dalam keirin untuk dua tahun akan datang, mungkin di Jepun,” katanya.

Mohd Azizulhasni tersingkir pada saringan pertama keirin kerana memintas pacer sebelum pacer memecut keluar trek, semalam.

-BERNAMA

 


Pengarang :