PBTSELANGOR

Kakitangan MPAJ semak lesen niaga berdepan provokasi, tohmahan tidak berasas

SHAH ALAM, 17 OGOS: Kakitangan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) berdepan provokasi dan tohmahan tidak berasas ketika membuat pemeriksaan ke atas peniaga di Taman Lembah Maju A.

Menurut kenyataan pada 17 Ogos yang merujuk rakaman tular di media sosial, anak-anak peniaga menghalang dan memperlekeh tugas kakitangan MPAJ di tapak niaga di situ Rabu lalu.

Mengikut MPAJ lagi, kakitangannya juga dimaki hamun dan dihalang untuk membuat pemeriksaan keadaan dalam gerai dengan hanya merakam gambar di tapak sama pada jam 9 pagi keesokannya.

“Segala tomahan yang dilempar kepada kakitangan MPAJ tidak berasas dan tiada salah guna kuasa memandangkan pemantauan dilaksanakan ke atas semua peniaga,” kata kenyataan tersebut.

Semakan terhadap rakaman tular itu mendapati beberapa individu mempertikai tindakan kompaun yang dibuat penguat kuasa MPAJ selain melempar pelbagai tuduhan.

Kenyataan MPAJ menyebut pemeriksaan meliputi status lesen, jenis perniagaan dan keadaan gerai dan pematuhan lesen termasuk isu bekalan air dan elektrik serta penyediaan empat tong sampah.

Menurut pihak berkuasa tempatan tersebut, kompaun dikenakan kepada peniaga atas kesalahan berniaga tanpa lesen dan melanggar syarat pelesenan iaitu menggajikan pekerja warga asing.

MPAJ juga membuat laporan di Balai Polis Pandan Indah jam 11.31 malam pada Khamis dan berharap penjelasan itu memberi gambaran sebenar kejadian di tapak niaga berkenaan.


Pengarang :