AGENDANASIONAL

Kanak-kanak dua tahun maut jatuh dari tingkat 16 pangsapuri

JOHOR BAHRU, 1 OGOS: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat 16 sebuah pangsapuri di Taman Daya di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) ACP Raub Selamat berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 9.16 malam.

Beliau berkata sebelum kejadian, mangsa dan keluarganya baru selesai beriadah di kolam renang pangsapuri berkenaan.

Raub berkata mangsa dibawa pulang ke rumah di tingkat 16 oleh sepasang suami isteri berusia 78 dan 56 tahun yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kanak-kanak itu sementara menunggu ibu dan ahli keluarganya yang lain ke pusat dobi di tingkat tujuh di pangsapuri berkenaan.

“Kedua-dua mereka telah meninggalkan mangsa bersendirian di ruang tamu untuk menunaikan solat. Bagaimanapun, mangsa didapati tiada di dalam rumah selepas mereka selesai solat dan hasil pencarian menemukan mangsa terjatuh di tingkat lapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa dipercayai terjatuh melalui salah satu tingkap di bilik tidur yang terbuka dan tidak dipasang jeriji.

Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dibawa ke Hospital Sultan Ismail di sini untuk dibedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001 dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah JBS di 07-2182323.

– BERNAMA


Pengarang :