EXCO Sumber Manusia V Papparaidu (tiga, kiri) menyantuni orang ramai dalam Karnival Kerjaya Jobcare Selangor 2024 di Dewan Perbandaran MPAJ, Pandan Indah, Ampang pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
EXCOSELANGOR

Karnival kerjaya Hulu Langat tawar kerja bergaji lebih RM5,000

AMPANG, 17 OGOS: Hampir 5,000 peluang kerjaya termasuk gaji lebih RM5,000 ditawarkan pada Karnival Jelajah Jobcare 2024 Hulu Langat yang berlangsung hari ini.

EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata tawaran berkenaan melibatkan kerjaya di lebih 30 syarikat pelbagai bidang termasuk pembuatan, perkhidmatan dan perkilangan yang beroperasi dalam negeri.

“Ini merupakan satu peluang menarik kerana kerja ditawarkan termasuk kerjaya profesional seperti akauntan, penganalisis data selain jawatan tinggi seperti pengurus.

“Tawaran gaji juga tinggi dan mereka berpengalaman selain memiliki taraf pendidikan boleh mencecah melebihi RM5,000. Karnival hari ini juga turut mencari pekerja am,” katanya selepas membuat lawatan ke karnival berkenaan.

Berlangsung di Dewan Perbandaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Pandan Indah dekat sini, Papparaidu berharap calon dapat menyerlahkan diri dan berketrampilan bagi menarik perhatian syarikat penemuduga.

“Selain taraf pendidikan dan pengalaman, calon juga perlu tunjukkan keyakinan. Tonjolkan kelebihan diri supaya syarikat yakin untuk mengambil sebagai pekerja.

“Hari ini program berlangsung dari 9 pagi hingga 4 petang. Orang ramai terutama pencari kerja serta graduan yang baru tamat belajar digalakkan hadir dengan dokumen penting,” katanya.

Tahun ini karnival kerjaya menawarkan lebih 30,000 peluang pekerjaan menerusi sembilan sesi jelajah dengan tigga sudah berlangsung di Hulu Selangor pada 29 Jun, Petaling Jaya (17 Julai) dan Kuala Langat (10 Ogos).

Program diperkenal pada 2022 akan diteruskan di Dewan Beringin Taman Seri Gombak (21 September), Dewan Hamzah Klang (5 Oktober), Dewan Dato’ Penggawa Permatang, Kuala Selangor (19 Oktober).

Daerah lain, Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang (16 November) dan Dewan Tun Razak, Sabak Bernam (14 Disember).

 


Pengarang :