(Gambar hiasan) kes buli. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kaunselor: Kurang kasih sayang, agama antara penyebab jadi pembuli

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kurang kasih sayang dan penghayatan agama, latar belakang keluarga, persekitaran kerja serta pengaruh rakan sebaya antara punca utama membuli.

Kaunselor Pusat Kaunseling Selangor (PKS) Mohamad Fuad Mohd Ali berkata terdapat tiga jenis buli yang kerap berlaku iaitu secara psikologi, percakapan dan fizikal.

Kaunselor Pusat Kaunseling Selangor (PKS) Mohamad Fuad Mohd Ali

“Buli ini terlalu subjektif, tidak mengira umur, pangkat dan tahap pendidikan. Kebiasannya ciri seorang pembuli, pertama, kurang mendapat kasih sayang ataupun perhatian daripada keluarga.

“Faktor lain, pembuli ini didorong untuk membuli kerana kurang didikan agama, kalau dia tahu buli itu salah, dosa jadi dia tidak akan membuli.

“Selain itu, latar belakang keluarga. Contohnya, seorang ‘client’ saya, watak ibu bapanya yang menjadi guru disiplin, perkataan kasar yang dilontarkan mereka kepadanya ini akhirnya membawa ke sekolah, memaki kawan-kawan,” kongsinya dalam program bual bicara Hai Selangor, hari ini.

Fuad juga berkata mangsa buli berkemungkinan mengalami kesan jangka pendek dan panjang dalam tiga aspek iaitu fizikal, emosi dan dan tingkah laku.

“Kesan kepada fizikal membabitkan masalah kesihatan seperti sakit kepala, migrain, kerap berjaga dari tidur dan tidur yang tidak berkualiti.

“Bagi kesan kepada emosi pula membabitkan tekanan emosi, ketakutan, kebimbangan, kemurungan, rasa rendah diri serta rasa terancam.

“Kesan kepada tingkah laku pula perubahan sikap iaitu seorang yang mood ceria ke murung, prestasi kerja atau pelajaran merosot. Paling kritikal ada idea ingin membunuh diri, ini paling membimbangkan,” jelasnya.


Pengarang :