Pengurus Besar Operasi KDEB Waste Management (KDEBWM) Mohd Idris Mohamed Yusof ketika menjadi tetamu program Hai Selangor pada 12 Ogos 2024.
AGENSISELANGOR

KDEBWM sedia hadapi tengkujuh, tumpu 242 lokasi berisiko banjir

OLEH AMIRAHWANI RAHIMI

SHAH ALAM, 12 OGOS: KDEB Waste Management (KDEBWM) memberi tumpuan di 242 lokasi berisiko banjir sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka berlaku akhir tahun ini.

Pengurus Besar Operasi Mohd Idris Mohamed Yusof berkata 51 kawasan titik panas dikenal pasti sekitar pentadbiran Majlis Bandaraya Shah Alam diikuti Majlis Perbandaran Ampang Jaya dengan 47 kawasan.

“Ini kawasan yang kita selalu pantau supaya tidak berlaku daripada banjir kilat kepada banjir yang besar,” katanya ketika menjadi tetamu program Hai Selangor di platform YouTube SelangorTV hari ini.

Tambah Mohd Idris lebih 1,000 tenaga kerja akan dikerahkan bagi menghadapi musim tengkujuh akan datang.

“Lebih 1,178 aset akan diguna pakai termasuklah lori kompaktor untuk mempercepatkan kerja pembersihan dan pengaliran air ketika banjir.

“KDEBWM juga akan bekerjasama rapat dengan pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk memastikan gerak kerja dilaksanakan dengan berkesan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai banjir kilat yang kerap melanda kawasan bandar, Mohd Idris berkata KDEBWM memfokus kepada lokaliti yang menjalankan kegiatan ekonomi khususnya kedai makan.

“Ia susulan aktiviti perniagaan tersebut berpotensi menyumbang kepada pembuangan sisa secara terus ke saliran longkang sehingga menyebabkan saliran tersumbat.

“Kita tumpu dan semak supaya sistem aliran tidak tersumbat, jadual kerja akan ubah sedikit supaya dapat tumpukan tempat terbabit dapat mengalirkan air dan dapat mengelakkan berlaku banjir kilat,” katanya.


Pengarang :