AGENDANASIONAL

KDNK suku kedua lebih baik cermin keyakinan ramai, bukti ekonomi mengukuh

Oleh Yasmin Ramlan

SHAH ALAM, 21 OGOS: Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang lebih baik pada suku kedua tahun ini mencerminkan keyakinan orang ramai terhadap pasaran tempatan, kata pakar ekonomi.

Prof Emeritus Barjoyai Bardai berkata keadaan itu membawa kepada keteguhan perbelanjaan swasta dan tempatan, yang menyumbang peningkatan kepada 5.9 peratus, berbanding 4.2 peratus suku sebelumnya.

“Perbelanjaan isi rumah, disokong dengan subsidi tambahan dan faktor lain menjadi pemacu utama. Ini juga menandakan bahawa isi rumah semakin yakin terhadap ekonomi dan prospek masa depan.

“Kesannya, mereka akan berbelanja lebih sekali gus menyebabkan peningkatan import berbanding eksport,” katanya kepada Selangor Journal.

Tahun ini, kerajaan komited merasionalisasikan beberapa subsidi untuk bantuan bersasar kepada golongan yang benar-benar memerlukan berbanding menyeluruh seperti sebelum ini.

Bantuan bersasar itu termasuk rebat bil elektrik RM40 kepada keluarga kurang berkmampuan, peningkatan bantuan tunai isi rumah berpendapatan sederhana dan rendah serta subsidi diesel.

Dalam pada itu, Barjoyai berkata kerajaan perlu memastikan keyakinan orang ramai terhadap ekonomi kekal positif selain menggalakkan perbelanjaan berterusan bagi mengekalkan pertumbuhan tersebut.

Beliau turut mengingatkan supaya pinjaman hutang seiring jumlah pendapatan bagi mengelakkan kesan jangka panjang yang negatif kepada ekonomi negara.

“Jika orang ramai bergelut untuk menguruskan pembayaran balik hutang mereka, ia boleh membawa kepada hutang lapuk dan krisis kewangan dalam keluarga,” katanya.


Pengarang :