Beberapa tokoh penting Harakatul Muqawwamatul Islamiah (Hamas) dan sekutunya Hizbullah dibunuh dalam siri serangan rejim Israel ketika konflik Gaza membahang.
Terbaharu, Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh terkorban pada 31 Julai kerana letupan bom di kediamannya selepas hadir majlis angkat sumpah Presiden Iran Masoud Pezeshkian. Sebelum itu, timbalannya Saleh al-Arouri maut dalam serangan di Beirut, Lubnan pada 2 Januari.
Israel juga mendakwa ketua Briged al-Qassam iaitu Mohammed Deif mati dalam pengeboman kem al-Mawasi di Gaza pada 13 Julai, namun Hamas menafikannya.
Hizbullah kehilangan komando kanan Fuad Shukr dalam serangan udara di pinggir Beirut, sehari sebelum Ismail dibunuh. Pada 1 April, komando elit Pasukan Quds Mohammad Reza Zahedi maut akibat pengeboman Israel ke atas konsulat Iran di Syria.
Tiada pihak mengaku bertanggungjawab ke atas pembunuhan Ismail, namun Iran mengaitkannya dengan Israel dan berikrar menuntut bela. Pada 6 Ogos, Yahya Sinwar diumum ketua biro politik Hamas menggantikan Ismail.
Perkembangan itu menimbulkan kebimbangan sama ada konflik merebak ke Lubnan selain usaha jalan damai Palestin-Israel menjadi persoalan.
Awal Ogos, Jordan dan beberapa negara Barat menggesa rakyat mereka segera keluar dari negara berkenaan manakala ada syarikat membatalkan penerbangan ke Beirut.
Selain foto REUTERS mengenai situasi di rantau berkenaan, lensa NUR ADIBAH AHMAD IZAM dan REMY ARIFIN merakam reaksi rakyat Malaysia ke atas kematian Ismail. Keterangan gambar oleh HAFIZAN TAIB.