Lebih 100 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi bersepadu di Little India, Brickfields pada 1 Januari 2024. Foto BERNAMA
AGENDAJENAYAH

Kelab malam digempur, 27 warga asing ditahan

KUALA LUMPUR, 9 OGOS: Jabatan Imigresen menahan 27 warga asing yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan imigresen selepas menyerbu sebuah kelab malam elit di Jalan Sultan Ismail, di sini pagi tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata sembilan wanita dan 18 lelaki itu ditahan selepas pihaknya memeriksa 50 individu termasuk pelanggan serta pekerja kelab malam berkenaan dalam Op Gegar pada jam 2 pagi.

Beliau berkata kelab malam itu didapati menyediakan bilik karaoke dengan bayaran RM10,000 sehingga RM16,000 manakala bilik karaoke ‘super VIP’ pula mengenakan caj RM200,000, lengkap dengan layanan wanita warga asing.

“Kami menyerbu pusat hiburan ini susulan aduan orang awam yang mengatakan terdapat aktiviti mencurigakan di kelab ini,” katanya sejurus selepas tamat operasi pagi tadi.

Difahamkan premis itu hanya menawarkan keahlian kepada pelanggan yang mempunyai baki wang lebih RM100,000 di dalam akaun bank mereka.

Wan Mohammed Saupee berkata mereka yang ditahan terdiri daripada lapan wanita rakyat China serta seorang wanita Kazakhstan, dan selebihnya ialah sembilan lelaki warga China, lima warga Bangladesh, tiga warga Pakistan, dan seorang lelaki Kemboja, semuanya berumur 20 hingga 43 tahun.

Beliau berkata antara kesalahan yang dilakukan ialah penyalahgunaan pas lawatan dan tidak memiliki dokumen perjalanan sah, dan semua yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Kuala Lumpur untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Satu borang Imigresen 29 iaitu saman saksi juga akan dikeluarkan kepada pemilik premis dan dia diminta hadir ke Bahagian Penguat kuasa Imigresen Kuala Lumpur,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :