Kakitangan hospital bersama bayi tahun baharu ketika program sambutan bayi tahun baru 2024 di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang pada 1 Januari 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Kelahiran hidup turun 10.2 peratus suku kedua tahun ini, bayi lelaki lebih ramai

PUTRAJAYA, 13 OGOS: Jumlah kelahiran hidup merekodkan penurunan sebanyak 10.2 peratus iaitu 100,732 kelahiran pada suku kedua tahun ini berbanding 112,197 kelahiran pada tempoh sama tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia dalam laporan Perangkaan Demografi.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata bayi lelaki melebihi bayi perempuan dengan 51,759 kelahiran berbanding 48,973 kelahiran.

Beliau berkata nisbah jantina bagi kelahiran hidup ialah 106 lelaki bagi setiap 100 perempuan.

Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin ditemui pemberita selepas melawat kaunter pendaftaran Padu di Dewan Orang ramai Kampung Sungai Buaya, Banting pada 29 Mac 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Secara purata seorang bayi dilahirkan pada setiap minit, 47 bayi bagi setiap jam dan 1,119 bayi sehari pada suku kedua 2024,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Uzir berkata ibu berumur 30 hingga 39 tahun merekodkan kelahiran hidup tertinggi iaitu 51,740 atau 51.4 peratus pada suku tahun ini, diikuti oleh ibu berumur 20-29 tahun iaitu 41.5 peratus, 40 tahun dan lebih (5.4 peratus) dan kurang daripada 20 tahun (1.8 peratus).

Mohd Uzir berkata Selangor mencatatkan bilangan kelahiran hidup tertinggi iaitu 19,320 manakala kelahiran hidup terendah dicatatkan di Wilayah Persekutuan Labuan iaitu 324 kelahiran.

Beliau berkata etnik Melayu menyumbang 67.4 peratus atau 67,859 kelahiran hidup daripada jumlah keseluruhan pada suku kedua 2024 berbanding 67.1 peratus dalam tempoh sama tahun lepas.

Kelahiran hidup bagi etnik Cina dan India pula masing-masing menurun kepada 9.7 peratus dan 3.7 peratus berbanding 9.9 peratus dan 4.4 peratus bagi suku kedua 2023,

Sementara itu, Bumiputera lain mencatatkan peningkatan kelahiran hidup kepada 12.9 peratus berbanding 12.5 peratus untuk tempoh sama.

Mohd Uzir berkata sebanyak 48,460 kematian telah direkodkan pada suku kedua 2024, iaitu penurunan 5.4 peratus berbanding 51,234 kematian bagi tempoh sama 2023.

Katanya Selangor merekodkan bilangan kematian tertinggi iaitu 7,459 kematian manakala Wilayah Persekutuan Putrajaya mencatatkan bilangan kematian terendah dengan 65 kematian.

Secara purata, Mohd Uzir berkata satu kematian direkodkan pada setiap dua minit, manakala 22 kematian direkodkan setiap jam dan 538 kematian sehari pada suku kedua 2024.

Beliau berkata penduduk Malaysia pada suku kedua tahun ini meningkat 1.9 peratus iaitu 34.1 juta berbanding 33.4 juta pada suku kedua 2023

“Jumlah penduduk terdiri daripada 30.7 juta warganegara dan 3.4 juta bukan warganegara,” katanya.

Mohd Uzir berkata komposisi penduduk bekerja berumur 15-64 tahun dan penduduk tua berumur 65 tahun ke atas masing-masing meningkat kepada 23.9 juta dan 2.6 juta, berbanding 23.3 juta dan 2.5 juta pada suku kedua tahun lepas.

— BERNAMA


Pengarang :