Pemain Selangor cuba menjaringkan gol ketika perlawanan Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR
AGENDASUKANKINI

Kemenangan Piala Sultan Selangor tonik terbaik hadapi JDT Sabtu ini

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Kejayaan pilihan Selangor merangkul kejuaraan Piala Sultan Selangor (TSSC) 2024, sebagai tonik terbaik buat Selangor FC menjelang aksi akhir kejohanan Piala FA, 24 Ogos depan.

Pemain sayap Selangor FC Faisal Halim berkata kemenangan ke atas pilihan Singapura menaikkan moral dan semangat pasukan sebagai persiapan bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT).

“Kita akan memberi terbaik untuk penyokong dan rakyat Selangor pada perlawanan akhir piala FA nanti.

“Tidak kira apa jua keputusan sama ada menang atau kalah kita kena terima. Selangor FC akan berjuang pada Sabtu ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perlawanan TSSC di Stadium Merdeka di sini, malam tadi.

Faisal Halim dihalang oleh pemain Singapura ketika perlawanan Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Pemain yang lebih mesra dikenali sebagai Mickey itu juga turut meluahkan rasa gembira dan bersyukur dapat beraksi selama 45 minit pada perlawanan piala berprestij itu sebagai kapten pasukan.

Beliau berkongsi rakan sepasukannya memberi sokongan dan motivasi luar biasa untuk kembali beraksi pada tahap terbaik.

“Alhamdulillah perlawanan pertama saya beraksi dalam keselebasan utama mendapat adaptasi intensiti permainan. Namun, memerlukan lebih masa untuk kembali mendapat rentak.

“Pada perlawanan beraksi sepanjang 45 minit ini saya hanya memberi setakat mana yang mampu. Harap semua pihak memberi ruang untuk saya dapatkan kekuatan dan kecergasan di tahap terbaik,” kongsinya.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan bergambar bersama pasukan Pilihan Selangor setelah memenangi Piala Sultan Selangor di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 17 Ogos 2024. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Ketua Jurulatih Selangor FC Nidzam Jamil menjelaskan pemilihan Faisal untuk beraksi pada perlawanan tersebut untuk diberi pendedahan minit permainan.

“Walaupun beliau belum mencapai tahap yang diperlukan, namun Faisal berada dalam perkembangan terbaik untuk beraksi secara kompetitif.

“Saya gembira melihat komitmen Faisal dan rakan sepasukan lain pada perlawanan TSSC ini. Sudah semestinya pendedahan terbaik untuk menghadapi JDT Sabtu depan,” ujarnya.

Final Piala FA akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 malam.

Sebelum ini, Selangor FC menewaskan Terengganu FC dengan agregat 6-4 untuk melangkah ke perlawanan akhir manakala juara bertahan JDT mara ke final Piala FA selepas mengatasi Kedah Darul Aman (KDA FC) dengan agregat 5-1.

 


Pengarang :