Timbalan Menteri Pertahanan yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Adly Zahari ketika sidang media pada Program Peduli Veteran bersama Timbalan Menteri Pertahanan Peringkat Negeri Selangor di Kedai Makanan Sejuk Beku Roz Kuala Selangor pada 27 Julai 2023. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kerajaan peruntuk RM1 juta bantu 200 usahawan veteran ATM kembang niaga

ALOR GAJAH, 8 OGOS: Kerajaan memperuntukkan RM1 juta bagi membantu 200 usahawan veteran tentera di bawah Program Pemerkasaan Usahawan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PUVET ATM) tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata setakat ini 96 usahawan veteran ATM telah dibantu dengan setiap penerima menerima bantuan wang tunai RM5,000 bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“Setakat ini kebanyakan penerima tinggal di selatan tanah air dan bagi mencapai sasaran 200 usahawan veteran, selepas ini kita akan menjelajah ke negeri-negeri di Pantai Timur.

“Lebih 50 peratus usahawan veteran ini menceburi bidang pembuatan makanan terutamanya sejuk beku yang berpotensi tinggi untuk dipasarkan selepas mereka tamat perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program PUVET ATM peringkat Melaka di sini hari ini.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 44 usahawan veteran menerima bantuan itu membabitkan peruntukan RM220,000.

Adly berkata Kementerian Pertahanan bersama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) turut bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makana serta Kementerian Ekonomi bagi membantu golongan berkenaan mengembangkan perniagaan mereka.

Beliau berkata perkara paling penting adalah mendedahkan usahawan veteran itu dengan teknologi digital bagi membantu mereka memasarkan perkhidmatan dan barangan secara dalam talian.

“Hal ini sekali gus akan memberi nilai tambah kepada perniagaan mereka selain bantuan modal bagi meningkatkan keupayaan usahawan veteran ini,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :