Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis perhimpunan penjawat awam dan pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Selangor 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 5 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

Kerjasama dengan penyedia perkhidmatan awan optimum usaha pendigitalan negeri

Oleh TEAM SJ

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan Selangor menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan penyedia perkhidmatan awan, Enfrasys Solutions bagi mengoptimum usaha pendigitalan ekonomi dan perkhidmatan negeri.

Dato’ Menteri Besar berkata Kerajaan Negeri berusaha mengenal pasti rakan kongsi utama untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja seiring menjadi negeri berpendapatan tinggi.

“Usaha seperti ini selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri untuk menjadikan minda mengutamakan digital bukan satu pilihan, tetapi satu norma.

“Kita tidak boleh terperangkap dalam gelembung digital kerana teknologi dipakai mestilah mesra pengguna dan menjurus ke arah menyelesaikan masalah yang dihadapi orang ramai setiap hari,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) dan Enfrasys di Pusat Konvensyen Ideal di sini hari ini.

MoU itu membolehkan SHRDC bekerjasama dengan Enfrasys bagi penyediaan perkhidmatan 5G persendirian sementara di pusat pembangunan Pembuatan Pintar Malaysia 4.0

Amirudin menambah, kerjasama tersebut diyakini mampu menghasilkan inovasi bermanfaat menerusi penyampaian perkhidmatan yang dijayakan menerusi rangkaian 5G persendirian.

Jelasnya, usaha itu membolehkan penerokaan manfaat kepada perusahaan di Selangor, sekali gus meningkatkan kebolehpercayaan dan prestasi industri dalam memacu transformasi digital.

Dalam pada itu, Amirudin berkata Kerajaan Selangor akan mencari lebih banyak cara dan peluang untuk mengembangkan peluang kepada rakyatnya selepas mencapai status negeri berpendapatan tinggi.

“Kita mesti maju dengan sistem yang tidak menjadikan masyarakat bergantung kepada kerajaan, tetapi masyarakat bebas yang berfungsi untuk menjadi ahli ekonomi Selangor yang bermaruah.

“Itu komitmen tetap Kerajaan Negeri, seperti yang saya nyatakan semasa membentangkan kajian separuh penggal Rancangan Selangor Pertama (RS-1) baru-baru ini,” katanya.

Pada 31 Julai lalu, Selangor muncul negeri baharu berpendapatan tinggi berdasarkan Laporan Bank Dunia, setakat Julai, kata pakar ekonomi Bank Dunia di Malaysia Dr Apurva Sanghi.

Selangor berjaya mencapai pendapatan negara kasar (GNI) USD14,291 (RM67,374), melepasi paras GNI per kapita peringkat negeri iaitu USD14,005 (RM66,026).

Empat negeri yang melepasi tahap sama ialah Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Sarawak dan Labuan melepasi tahap berkenaan dengan wilayah ibu negara tertinggi iaitu USD29,967 (RM141,279).


Pengarang :