BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Ketakutan Amerika cetus perlumbaan angkasa, cipta program Apollo

Tanggal 21 Julai diraikan setiap tahun sebagai hari ulang tahun penjejakan kaki manusia di Bulan.

Misi menerusi program Apollo dijayakan 400,000 orang. Projek itu menelan belanja sebanyak 25 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) iaitu bersamaan 257 bilion dolar AS pada 2023.

Seramai 600 juta orang di seluruh dunia yang menonton penjejakan kaki di Bulan buat kali pertama secara langsung pada 1969.

Ketika itu, perlumbaan angkasa antara AS dan Kesatuan Soviet sangat rancak. Namun perlumbaan itu bukanlah demi mengejar kemajuan teknologi mahupun untuk perkembangan saintifik, sebaliknya kerana ketakutan dan hegemoni.

Ketakutan ini bermula selepas melihat kedahsyatan bom nuklear yang meletup di Hiroshima dan Nagasaki di Jepun pada 1945.

Senjata nuklear yang berkesan bukan sahaja dapat meletup dan memusnahkan kawasan yang luas tetapi juga yang dapat menyerang dari jauh tanpa dikesan musuh.

Kaedah yang paling ampuh ialah dengan menghantar misil balistik mengandungi peledak nuklear melalui angkasa dan sampai ke negara musuh.

Sejak itu, AS dan Kesatuan Soviet mula berlumba menguji misil balistik mereka supaya dapat terbang ke angkasa.

Daripada ini sebenarnya datang idea baharu, bagaimana pula kalau roket dapat terbang ke angkasa untuk merisik musuh?

Sesuatu yang belum dapat dilakukan oleh sesiapa pada ketika itu. Pada zaman ini, satelit menjadi salah satu teknologi risikan.

Menerusi idea berkenaan, Kesatuan Soviet berjaya menghasilkan satelit pertama manusia iaitu Sputnik 1 yang berjaya mengelilingi Bumi selama dua bulan. Setiap kali Sputnik 1 melintasi tanah AS, rakyatnya begitu gerun.

Buat pertama kalinya objek musuh berkeliaran di angkasa. Bagaimana kalau suatu hari nanti objek ini membawa bom nuklear?

Ketakutan ini sampai ke tahap murid-murid sekolah pun dilatih untuk cari tempat perlindungan sekiranya bom atom jatuh ke AS.

Dek ketakutan itulah kerajaan AS menubuhkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).

NASA bukan ditubuhkan kerana cintakan ilmu sains atau bertujuan penerokaan, tetapi motivasi asalnya kerana ketakutan terhadap ancaman Kesatuan Soviet.

Demi melemahkan pengaruh Kesatuan Soviet, AS tidak boleh setakat menghantar roket ataupun satelit ke angkasa. Perlumbaan angkasa ini tidak akan tamat dengan sebegitu rupa.

Foto NASA

Teknologi berbahaya

AS perlu terkehadapan dengan menerbangkan manusia di angkasa bagi menunjukkan teknologinya berbahaya dan dapat memberikan ancaman kepada musuh.

Tetapi Kesatuan Soviet berjaya melakukan hal ini dengan menghantar angkasawan Yuri Gagarin pada April 1961.

Gagarin merupakan manusia pertama yang ke angkasa dan beliau berada di angkasa selama 108 minit dalam keadaan selamat.

Kemudian, Kesatuan Soviet merangkul kejayaan lagi dengan menghantar objek pertama ke Bulan, menghantar wanita pertama ke angkasa iaitu Valentina Tereshkova dan berjaya menghantar angkasawan pertama yang melakukan siar angkasa (spacewalk).

Peristiwa ini menambah ketakutan kepada AS. Kemenangan berturut-turut oleh Kesatuan Soviet dalam perlumbaan angkasa membesarkan pengaruh komunis.

Kuasa besar AS terhakis dan orang awam pun bimbang sekiranya Kesatuan Soviet menyerang. Tetapi AS membuat kejutan selepas itu dengan menghantar manusia ke Bulan.

Mereka dapat pergi dan balik dengan selamat. Bukan sekali, tetapi sebanyak enam kali dan semuanya dilakukan oleh AS.

Peristiwa ini menjadi tanda kemajuan AS dalam teknologi mereka sehingga mampu membawa manusia ke Bulan.

Perlumbaan angkasa ini berakhir dengan kerjasama AS dan Kesatuan Soviet dalam pembinaan Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Pada hari ini, perlumbaan angkasa kembali lagi tetapi melibatkan ramai pemain termasuk China, India, Jepun, dan negara-negara Eropah.

Tidak terkecuali juga persaingan daripada syarikat gergasi seperti SpaceX, Virgin Galactic dan Blue Origin.

Misi kali ini adalah untuk membina pusat ekonomi dan perdagangan di angkasa dari orbit rendah Bumi hinggalah ke Bulan.

Bayangkan suatu hari nanti kita mempunyai hotel dan pusat penginapan di angkasa lepas. Sesuatu yang mungkin akan kita kecap tidak lama lagi.

Walau program Apollo asalnya bermotifkan politik, impaknya terhadap kehidupan seharian manusia memang terasa.

Banyak teknologi daripada perlumbaan angkasa ini memanfaatkan kita hari ini seperti sut baju bomba, teknologi suria, jam berasaskan batu quartz, teknologi litar bersepadu, peranti tidak berkabel, peralatan elektronik, teknologi komputer dan pelbagai lagi.

Soalan popular selalu ditanya, kenapa kita tidak lagi hantar manusia ke Bulan selepas 1972? Sebahagian puncanya ialah kekangan bajet.

Ketika program Apollo dijalankan, NASA menerima bajet paling tinggi iaitu lebih 4 peratus daripada bajet kerajaan kerana AS memberikan keutamaan tertinggi untuk program angkasa bagi melawan blok komunis.

Kini, peruntukan NASA semakin kurang saban tahun. Sedekad kebelakangan ini, NASA cuma menerima dana sebanyak 0.4 peratus daripada bajet kerajaan.

Pada 2020, NASA hanya menerima sekitar 20 bilion dolar AS. Program Apollo kosnya 25 bilion dolar AS (sekitar 257 bilion dolar AS kalau ikut zaman sekarang).

NASA mempunyai banyak projek dan agenda. Projek Teleskop Angkasa James Webb Space saja menelan belanja sehingga 10 bilion dolar AS.

* Penyelidik di Universiti Teknologi Mara, Dr Zamir Mohyedin seorang ahli fizik yang menulis lapan buku

 


Pengarang :