Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Azman Adam pada sidang media berhubung pelaksanaan Op Manis dan Op Tiris di ibu pejabat KPDN, Putrajaya pada 7 Julai 2023. Foto Bernama
AGENDAJENAYAH

KPDN tumpaskan sindiket seleweng minyak masak bersubsidi di Jeram

PUTRAJAYA, 9 OGOS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) pada Selasa telah menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi yang dipercayai menjadikan sebuah stor di Jeram, Selangor sebagai markas kegiatan haram.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN Datuk Azman Adam berkata dalam Ops Tiris 3.0 pada kira-kira 2.30 petang itu, KPDN dengan kerjasama polis menemukan sebuah lori dengan muatan minyak masak peket satu kilogram (kg).

Turut ditemukan sebuah tangki silinder yang mengandungi hampir 4,000kg minyak masak, selain 128 bungkusan plastik minyak masak peket 1kg pelbagai jenama yang telah dipotong pembungkusnya.

“Kesemua minyak masak peket 1kg bersubsidi dianggarkan hampir 10,015kg serta beberapa peralatan yang digunakan seperti gunting, pam penyedut minyak, hos getah.

“Beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan lanjut. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM64,567.50,” katanya.

Azman berkata hasil maklumat awal yang diperolehi, sindiket disyaki membeli minyak masak peket 1kg bersubsidi dan dikumpulkan di stor haram berkenaan, yang beroperasi tanpa lesen sah untuk menyimpan barang kawalan.

“Minyak masak peket 1kg berkenaan seterusnya akan dipotong dan dipindahkan ke dalam tangki silinder serta dibotolkan semula sebelum dijual mengikut harga minyak masak bukan bersubsidi,” katanya.

Beliau berkata seorang lelaki warga tempatan berusia 50-an yang dipercayai bekerja sebagai pemandu lori ditahan bagi membantu siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122], bagi mengenal pasti individu/syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak masak tersebut,” katanya.

Selain itu, premis terbabit juga telah disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Perintah-Perintah Kawalan Bekalan 1974, iaitu berurusan dan menjual secara borong atau runcit apa-apa barang kawalan berjadual tanpa lesen.

“Syarikat ini juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) [Akta 613],” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :