PBTSELANGOR

Lapor pelbagai isu kepada MBSJ hanya menerusi WhatsApp

SHAH ALAM, 20 OGOS: Orang awam kini boleh melaporkan sebarang aduan atau laporan secara terus kepada jabatan dalaman Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi WhatsApp.

Pihak berkuasa tempatan (PBT) itu menerusi Facebook memaklumkan perkhidmatan itu beroperasi pada hari bekerja bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

“Bermula pada 19 Ogos komuniti bandar raya dan orang ramai boleh menghubungi jabatan dalaman MBSJ secara terus melalui aplikasi WhatsApp dengan menghantar mesej pada nombor yang tertera,” katanya.

Memetik laporan The Star baru-baru ini. Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim mahu mewujudkan saluran WhatsApp bagi memudahkan orang ramai melapor aduan secara terus kepada jabatannya.

“Ia akan berfungsi untuk menghubungkan penduduk dengan lebih cepat kepada PBT. Sebagai contoh, aduan mengenai jalan berlubang akan ditujukan kepada Jabatan Kejuruteraan.

“Penduduk perlu mengambil gambar dan menghantar lokasi tepat melalui WhatsApp bagi membolehkan MBSJ membuat tindakan susulan,” katanya.


Pengarang :