Sebuah pesawat ringan terhempas di jalan raya berdekatan kawasan perumahan di Elmina Central Park Seksyen U16, Shah Alam pada 17 Ogos 2023. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Laporan akhir: Hilang kawalan punca pesawat terhempas di Elmina tahun lalu

SHAH ALAM, 16 OGOS: Nahas pesawat kecil di Persiaran Elmina di sini tahun lalu berpunca akibat kehilangan kawalan semasa proses mendarat, menurut laporan akhir Biro Sisatan Kemalangan Udara (AAIB).

Menurut laporan tersebut yang diterbit hari ini, punca utama hilang kawalan itu akibat komponen yang membantu sistem pendaratan pesawat (lift dumper spoiler) dinaikkan secara tidak sengaja, dipercayai oleh juruterbang kedua.

Juruterbang Shahrul Kamal Roslan, 41, dan pembantunya Heikal Aras Abdul Azim, 45, memandu Hawker Beechcraft Model 390 (Premier 1) dari jam 2.08 petang di Langkawi menuju Subang pada 17 Ogos 2023.

Kebenaran mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang diberikan pada 2.48 petang, sejurus sebelum pesawat terhempas di atas jalan raya tersebut, kira-kira 7km dari destinasi tujuan.

Siasatan itu mendapati juruterbang dan pembantunya tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) apabila mereka bertukar tempat duduk sehingga menyebabkan kegagalan komunikasi pada saat-saat genting.

Menurut SOP pesawat berkenaan, juruterbang utama sepatutnya berada di kanan, manakala pembantu di sebelah kiri.

“Proses komunikasi dan membuat keputusan yang tidak berkesan begitu ketara ketika peringkat akhir penerbangan,” laporan setebal 148 halaman itu dipetik.

“Ketiadaan taklimat atau amaran khusus mengenai pengendalian sistem pendaratan pesawat dan juga keputusan mengabaikan protokol tempat duduk menyebabkan kurangnya komunikasi dan proses keputusan.”

Laporan agensi Kementerian Pengangkutan itu juga mendapati pembantu juruterbang tidak biasa dengan risiko mengendalikan sistem pendaratan pesawat kerana kurang pendedahan dan latihan.

Menurut laporan itu lagi, pengendali pesawat malang itu juga gagal mendapat keizinan untuk terbang di luar jadual yang ditetapkan dan oleh itu tidak mematuhi peraturan udara Malaysia.

Nahas ini disifatkan sebagai hilang kawalan ketika penerbangan (loss of control-inflight atau LOC-I). Laporan ini boleh dibaca di halaman https://www.mot.gov.my/en/AAIB/report/a05-23

Selain dua juruterbang, enam penumpang pesawat termasuk EXCO Pahang Datuk Seri Johari Harun disahkan maut. Dua orang awam di atas jalan turut terkorban.


Pengarang :