KUALA LUMPUR, 4 OGOS: Lebih 1,000 peserta berarak di Bukit Bintang malam tadi melalui program Jalan-Jalan Palestin bagi menzahirkan sokongan kepada rakyat Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis.
Himpunan anjuran Sekretariat Solidariti Palestin dan Gerakan Boycott, Divestment, Sanctions Malaysia (BDS Malaysia) itu dimulakan dengan perarakan di pusat membeli-belah Starhill ke Lot 10 melalui Fahrenheit88 di sini.
Sepanjang perarakan, peserta terdiri pelbagai lapisan masyarakat melaungkan kata-kata “Free Palestine”, “From The River To The Sea, Palestine will be free”, “Palestine will never die”, “Cease the fire” dan “Stop Genocide”.
Peserta berarak sambil membawa bendera Palestin, kain rentang dan plakad menggesa gencatan senjata, rejim Zionis menghentikan serangan terhadap rakyat Palestin dan menuntut keadilan kematian Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh.
Peserta kemudian berarak ke Lot 10, Hotel Parkroyal seterusnya menuju ke Sungai Wang Plaza, Bukit Bintang Plaza dan Blitz Bukit Bintang.
Perarakan mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang membuat kawalan trafik dan keselamatan sepanjang perarakan.
Selepas hampir sejam berarak dengan jarak lebih lima kilometer, perarakan peserta berakhir di hadapan perkarangan restoran McDonald’s Bukit Bintang untuk acara terakhir berkumpul dan mendengar ucapan daripada aktivis dan beberapa pemimpin badan bukan kerajaan (NGO).
Perarakan turut mendapat sokongan dan penyertaan bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua serta aktivis sosial Hishamuddin Rais.
Perarakan dan himpunan tanpa kejadian tidak diingini itu berakhir jam 10 malam sebelum semua peserta bersurai.