AGENDANASIONAL

Lima premis sebabkan pencemaran bau dihentikan operasi

PUTRAJAYA, 14 OGOS: Lima premis e-waste yang tidak mematuhi Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dikenakan penahanan operasi kelengkapan (POK) di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, kata Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaafar.

Wan Abdul Latiff berkata tindakan itu bertujuan menghentikan pencemaran daripada terus berlaku sehingga boleh mengganggu kesihatan penduduk yang tinggal berhampiran Kawasan Perindustrian Segamat 2 di Johor.

Beliau berkata antara buangan yang diproses premis berkenaan ialah bateri litium, aluminium dros, e-waste dan kabel yang tercemar dengan buangan terjadual.

“JAS juga sedang melengkapkan kertas siasatan bagi tindakan perundangan ke atas lima premis berkenaan.

“Ia hasil siasatan yang dijalankan pada 16 Julai dan 12 Ogos 2024 susulan 17 aduan diterima JAS daripada penduduk berhampiran kawasan berkenaan berhubung pencemaran bau serta operasi kilang e-waste haram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Abdul Latiff berkata jika sabit kesalahan, semua premis itu boleh dikenakan beberapa tindakan antaranya di bawah Seksyen 18(1) iaitu tidak lebih RM250,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya serta Seksyen 34A(6) iaitu dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak melebihi RM1 juta.

Justeru itu, JAS akan melaksanakan pemantauan berterusan di kawasan perindustrian berkenaan bagi mengenal pasti sekiranya masih terdapat premis memproses barangan buangan terjadual yang beroperasi tanpa kelulusan.

Baru-baru ini sebuah portal dilaporkan mendedahkan mengenai aktiviti berkenaan yang dipercayai beroperasi melerai, memproses dan melebur sampah e-waste yang diseludup tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan.

Kilang kitar semula barang terpakai itu disyaki beroperasi tanpa permit atau lesen sah daripada JAS bagi menguruskan keseluruhan proses barangan e-waste.

– BERNAMA


Pengarang :