Pengerusi Lembaga Zakat Selangor (LZS) Tan Sri Syed Anwar Jamalullail (dua, kiri) memegang buku laporan prestasi Lembaga Zakat Selangor ketika sidang media Prestasi Kutipan dan Agihan Zakat 2023 di Hotel Mardhiyah, Shah Alam pada 23 Mei 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

LZS agih RM1.15 bilion bayaran zakat, lebih 350,000 asnaf terima manfaat

SHAH ALAM, 7 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengagihan RM1.15 bilion bayaran zakat sepanjang 2023 kepada lebih 350,000 asnaf.

Agensi itu memberitahu, RM144 juta daripadanya diagihkan kepada asnaf yang memerlukan bantuan tempat tinggal merangkumi bantuan sewa rumah (RM118.8 juta), baik pulih (RM22.5 juta) dan bina rumah (RM2.7 juta).

Menerusi perkongsian di Facebook, LZS turut memberitahu pihaknya membelanjakan RM171.96 juta bagi melaksanakan program pembangunan pendidikan.

Program itu termasuklah bayaran elaun guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain sebanyak RM28.9 juta, biasiswa pendidikan asnaf (RM20.6 juta), bantuan insentif pendidikan asas (RM13.9 juta) serta bantuan pendidikan orang kelainan upaya (RM4.4 juta).

Selain itu, LZS turut menyalur RM766.6 juta melalui agihan pembangunan sosial termasuk membantu lebih 50,000 keluarga melibatkan peruntukan RM229.4 juta.

“Kami menyampaikan setiap perkongsian (zakat) anda dengan penuh amanah dan tulus bagi menjaga sosioekonomi Islam di Selangor.

“Yakini LZS dalam menyampaikan amanah anda,” katanya.


Pengarang :