Penasihat Perubatan Lembaga Zakat Selangor (LZS) Datuk Dr Tunku Muzafar Shah Tunku Jaafar Laksamana (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara LZS yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohd Sabirin Mohd Sarbini (dua, kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Medkad Ezuan Yaacob (dua, kanan) pada Majlis Menandatangani Perjanjian Kerjasama Strategik Inisiatif Digital E-Perubatan antara LZS dan Medkad di di Hotel Mardhiyyah & Suitesm Shah Alam pada 6 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

LZS, Medkad kerjasama bangun sistem permudah asnaf mohon bantuan perubatan

Oleh Azrin Muhammad

SHAH ALAM, 6 OGOS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menjalinkan kerjasama dengan syarikat teknologi kesihatan, Medkad Sdn Bhd (Medkad) bagi membangunkan sistem bantuan perubatan elektronik Al-Amal yang dijadual beroperasi sepenuhnya Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata sistem berkenaan bukan sahaja mengurangkan kebergantungan kepada borang fizikal malah menjimatkan masa berbanding kaedah manual yang memerlukan tempoh lama untuk diproses.

“Proses permohonan bantuan dapat diselesaikan dalam tempoh tujuh hari berbanding 14 hari sebelum ini serta mengurangkan risiko berlaku kesilapan ketika menyemak dan meluluskan permohonan.

“Dalam masa sama, selepas ini tiada lagi isu keperluan menyedia dan pengesahan sebut harga oleh pihak hospital yang menyukarkan pemohon,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik (MoA) Inisiatif Digital e-Perubatan di antara LZS dengan Medkad, hari ini.

Bertempat di Hotel Mardhiyyah & Suites di sini, majlis berkenaan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Perubatan LZS Dato’ Dr Tunku Muzafar Shah Tunku Jaafar dan Ketua Pegawai Eksekutif MedKad Ezuan Yaacob.

Mohd Sabirin menambah memaklumkan pihaknya telah membuat persediaan selama enam bulan termasuk pelaksanaan projek rintis mulai November hingga Disember ini melibatkan daerah Petaling.

Katanya, LZS memilih daerah terbabit sebagai memandangkankawasan terbabit mencatat jumlah asnaf paling ramai di Selangor.

Bantuan perubatan LZS merupakan antara bantuan utama asnaf di bawah kategori hajiyyat yang diperuntukan bagi asnaf fakir, miskin, mualaf dan gharimin.

Menurut statistik yang dikeluarkan LZS, jumlah bantuan perubatan yang diagihkan pada 2023 mencecah hampir RM51 juta yang memberi manfaat kepada lebih 11,000 asnaf.

 


Pengarang :