Atlet taekwondo Johor menjalani latihan pada 20 Disember 2016. Foto BERNAMA
AGENDASUKANKINI

Mahu pertahankan diri, mangsa buli kini juara taekwondo

KUCHING, 20 OGOS: Pernah menjadi mangsa buli mendorong P Moganarrajan menceburi sukan taekwondo yang pada awalnya hanya untuk mempertahankan diri.

Namun siapa sangka wakil Johor itu mampu berada di tangga podium utama selepas memenangi pertarungan bawah 54 kilogram (kg) menumbangkan wakil Negeri Sembilan Ahmad Muhaimin M Al Hafiidz 2-1 untuk pingat emas.

Mengimbau kisah ‘terjebak’ dalam sukan taekwondo, Moganarrajan, 20, telah didaftarkan oleh bapanya I Perumal, 67, untuk mempelajari seni mempertahankan diri ketika berusia 12 tahun.

Bagaimanapun, beliau terkilan kerana tidak dapat meraikan kejayaan emas bersama mendiang bapanya yang meninggal dunia pada Februari lepas.

“… dari budak kecil masa saya masuk taekwondo ini, orang buli saya dekat sekolah rendah. Baling batu, pukul… Itulah (kenapa) ayah saya masukkan dalam taekwondo namun dia telah meninggal dunia.

“Sebelum meninggal, dia ada minta (pingat) emas sebab itu saya usaha tapi ayah tiada untuk tengok. Tapi semua master (taekwondo) ada untuk saksikan kejayaan bersama ibu yang turut hadir,” katanya kepada pemberita di Stadium Perpaduan, Petra Jaya di sini.

Moganarrajan yang mempunyai raut wajah tenang dan sedikit pemalu, menasihatkan agar ‘pembuli’ menghentikan perbuatan tidak bermoral itu supaya mereka yang menjadi mangsa tidak terus dibelenggu masalah kemurungan dan ketakutan.

Sementara itu, jurulatih skuad taekwondo Johor, G. Loorthunathan percaya anak buahnya itu mempunyai potensi hebat kerana mempunyai kekuatan fizikal dan mental.

“Memang dia sudah dipanggil menyertai pasukan kebangsaan sebelum SUKMA,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :