Menteri Ekonomi Rafizi Ramli bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (tengah) memotong riben pada majlis pelancaran Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor di Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC), Subang Jaya pada 6 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Malaysia perlu reka bentuk semikonduktor sendiri, kurangkan pergantungan cip import

SUBANG JAYA, 6 OGOS: Malaysia perlu memberi tumpuan membangun keupayaan mereka bentuk semikonduktor sendiri sekali gus mengurangkan pergantungan kepada cip import, kata menteri ekonomi.

Rafizi Ramli berkata kerajaan tekad meningkatkan keseluruhan ekosistem semikonduktor meliputi sektor huluan dan hiliran termasuk memberi penekanan kepada pengeluar reka bentuk asli.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pada majlis pelancaran Taman Reka Bentuk IC Semikonduktor Malaysia di Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC), Subang Jaya pada 6 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

“Minat terhadap pusat data akan terus memacu permintaan semikonduktor dan ini memberikan peluang kerana terdapat permintaan untuk cip.

“Apabila ekosistem ini berlaku, pusat data di Malaysia akan mula mempertimbangkan cip Buatan Malaysia. Itu adalah pertimbangan yang disasarkan kerajaan,” katanya pada majlis pelancaran Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor Malaysia di sini hari ini.

Bertempat di Puchong Financial Corporate Centre (PFCC) di sini, majlis berkenaan turut di hadiri Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli (kanan) bersama Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menandatangani plak perasmian pada majlis pelancaran Taman Reka Bentuk Litar Bersepadu (IC) Semikonduktor di Pusat Korporat Kewangan Puchong (PFCC), Subang Jaya pada 6 Ogos 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/SELANGORKINI

Sementara itu, EXCO pelaburan berkata taman berkenaan merupakan komitmen pentadbiran negeri dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai peneraju global industri.

“Dengan memupuk inovasi dan kerjasama, kami berhasrat mewujudkan ekosistem yang berkembang maju dan menyokong penciptaan peluang kerja bernilai tinggi selain kemajuan teknologi.

“Inisiatif ini juga selaras dengan visi kami yang lebih luas untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekonomi digital,” kata Ng Sze Han menerusi kenyataan.

Pada April, Selangor menandatangani memorandum persefahaman pembangunan taman IC berkenaan dengan empat syarikat termasuk ARM Ltd yang berpusat di United Kingdom, Shenzhen Semiconductor Industry Association (China).

Dikendalikan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor mulai hari ini, pusat yang turut melibatkan kerjasama Phison Malaysia dan SkyeChip mampu menjana pulangan ekonomi sehingga RM1 bilion selain bakal membuka peluang kerjaya dengan tawaran gaji mencecah RM7,000.


Pengarang :