Mangsa banjir Mohd Hasim Yusof, 59, membersihkan dapur rumahnya yang dinaiki lumpur berikutan banjir yang berlaku 11 Ogos 2024 ketika ditemui di Kampung Sungai Jernih, Alor Gajah, Melaka pada 12 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mangsa banjir Alor Gajah menurun kepada 407 orang malam ini

MELAKA, 12 OGOS: Mangsa banjir di Alor Gajah sedikit menurun kepada 407 orang daripada 121 keluarga pada 7.30 malam ini berbanding 418 orang daripada 127 keluarga 4 petang tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata kesemua mangsa ditempatkan di enam pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka secara berperingkat bermula semalam.

“PPS Balai Raya Paya Lebar menempatkan 61 orang daripada 13 keluarga, PPS Balai Raya Ayer Paabas (61 orang daripada 13 keluarga) dan PPS Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Ar-Rasyidin (163 orang daripada 59 keluarga).

“Selain itu, PPS Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Kuala Linggi (125 orang daripada 30 keluarga), PPS Dewan Japerun Ayer Limau (45 orang daripada 12 keluarga) dan PPS Balai Raya Seri Jeram (10 orang daripada empat keluarga),” katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Beliau berkata kawasan terjejas termasuk Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung Ayer Limau, Kampung Sungai Jernih, Kampung Lekok, Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baru Masjid Tanah, Kampung Rantau Panjang dan Kampung Berisu.

Selain itu, turut terjejas ⁠Taman Awan Biru, Taman Seri Bayu 2 dan 3, Taman Seri Aman, Kampung Belimbing Dalam, Kampung Solok Ayer Limau, Kampung Seri Jeram, Kampung Ladang, Kampung Keramat Lebai, Panchor dan Taman Rembia Jaya.

Cuaca dilaporkan cerah pada malam ini dan tiada jalan utama ditutup kepada kenderaan.

– BERNAMA


Pengarang :