Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama kepimpinan kerajaan negeri mengibarkan Jalur Gemilang sempena pelancaran Kempen Kibar Jalur Gemilang peringkat Selangor 2024 serta perhimpunan penjawat awam di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam ada 5 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: 21,000 penjawat awam negeri bakal terima kenaikan gaji

SHAH ALAM, 5 OGOS: Lebih 21,000 penjawat awam negeri bakal menerima manfaat kenaikan gaji selaras dengan pengumuman dibuat perdana menteri pada 1 Mei lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kadar baharu bergantung kepada kenaikan ditetapkan kerajaan persekutuan yang akan dimaklumkan pada 16 Ogos ini.

“Kita akan ikut (kerajaan persekutuan) dan lihat kadar ditetapkan (kerajaan persekutuan). Dengan rizab kita ada, kita boleh beri (kenaikan),” katanya selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri di Auditorium Dewan Jubli Perak.

Sempena sambutan Hari Pekerja tahun ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam dengan kenaikan melebihi 13 peratus, tertinggi pernah dicatatkan dalam sejarah negara.

Kali terakhir kenaikan gaji penjawat awam dinaikkan sekitar 13 peratus pada 2013.

Pada 18 Julai, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz memaklumkan Anwar bakal mengumumkan kadar kenaikan berkenaan pada 16 Ogos ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


Pengarang :