Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (dua, kanan) ketika majlis pecah tanah SkyCity di Hotel Double Tree, Shah Alam pada 6 Ogos 2024. FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Menara SkyCity tarikan terbaharu di i-City, dibuka Disember ini

OLEH YASMIN RAMLAN

SHAH ALAM, 6 OGOS: Menara SkyCity setinggi 54 meter di i-City, di sini bakal menjadi tarikan terbaharu pelancong ke negeri ini khususnya sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata projek bernilai RM15 juta dijadual dibuka pada Disember depan.

Menurut beliau menara dengan gelongsor kaca sepanjang 600 meter itu dijangka menarik kira-kira lima juta pengunjung atau bersamaan 70 peratus daripada sasaran kehadiran tujuh juta pelancong tahun depan.

“Berdasarkan data semasa yang kita ada, kawasan ini (i-City) terbukti antara tarikan utama mereka yang berkunjung ke Shah Alam.

“Ini boleh dianggap sebagai aktiviti pelancongan kerana ia memerlukan pelawat menginap sekurang-kurangnya satu malam di hotel, mengklasifikasikan mereka sebagai pelancong,” katanya pada sidang media.

Terdahulu, Amirudin menyempurnakan majlis pecah tanah Sky City di Hotel DoubleTree by Hilton di sini, hari ini. Turut hadir Pengerusi i-City Selangor Tengku Datuk Seri Ahmad Shah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah.

SkyCity dijangka dibuka kepada orang ramai pada 11 Disember depan sempena Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Amirudin menambah, pembinaan SkyCity bakal melengkapkan lagi i-City sebagai bandar mampan dan moden, dengan kemudahan seperti kawasan rekreasi, pusat membeli-belah, kediaman dan ruang pejabat.

“Saya telah menyaksikan transformasi i-City sejak 2008, berkembang daripada kawasan yang pernah dianggap tergantung tanpa janji sehingga menjadi tarikan dan hab aktiviti utama di negara dan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Tengku Ahmad Shah berkata, pembinaan SkyCity akan digabungkan dengan sistem lampu diod pemancar cahaya (LED), sekali gus menjadi mercu tanda terbaharu Shah Alam.

Menurutnya, i-City akan menjalankan promosi meluas bagi menarik lebih ramai pengunjung, terutamanya menerusi kempen Pusing Selangor Dulu dan Tahun Melawat Selangor 2025.

“Pengunjung berpeluang merasai pengalaman umpama berenang di langit dan terbang di dalam air, dan kita jangka ia akan menjadi tarikan utama tahun depan kepada pelawat tempatan dan antarabangsa,” katanya.

 


Pengarang :