Dato’ Seri Amirudin Shari ketika merasmikan pameran bertemakan ‘Liburan Sehat, Ya di Selangor Aja,’ yang diadakan di Tunjangan 6, Surabaya, Indonesia pada 1 Ogos 2024. Foto Facebook Amirudin Shari
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Selangor destinasi pelancongan kesihatan pilihan pelawat Indonesia

SHAH ALAM, 1 OGOS: Seramai 168,116 pelancong dari Indonesia memilih Selangor sebagai destinasi untuk mendapatkan rawatan kesihatan pada 2023.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jumlah itu meningkat sebanyak 62.5 peratus atau 64,668 pelancong berbanding 103,448 pada 2022.

“Pelancongan perubatan di Selangor menyaksikan pertumbuhan yang memberangsangkan dengan kemasukan 64.49 juta pesakit dari negara luar dan 87.98 juta pelancong kesihatan.

“Pada 2023, negeri Selangor telah mencatatkan kemasukan pelancong dari Indonesia tertinggi dengan 168,116 pelawat,” katanya di Facebook.

Menurut Amirudin kemudahan penerbangan mingguan dari pelbagai destinasi di Indonesia ke Selangor memudahkan pelancong mendapatkan rawatan perubatan sambil menikmati percutian di negeri ini.

“Kerajaan Negeri yakin pelancong Indonesia akan menerima layanan dan kemudahan terbaik semasa berkunjung ke Selangor.

“Dengan 354 penerbangan mingguan dari pelbagai destinasi di Indonesia ke Selangor dan aksesibiliti di negeri ini adalah sangat mudah untuk pelancong mendapatkan rawatan perubatan,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri menganjurkan pameran pelancongan perubatan (MHExpo) selama empat hari bermula hari ini di Surabaya, Indonesia.

Program dijalankan Tourism Selangor dengan Majlis Pelancongan Kesihatan Malaysia (MHTC) itu bertujuan mempromosi Selangor sebagai negeri yang mempunyai perkhidmatan kesihatan terbaik.

Sebanyak 11 hospital menyertai pameran tersebut antaranya Avisena Specialist Hospital, KPJ Healthcare Berhad, Sunway Medical Centre, MSU Medical Centre dan Subang Jaya Medical Centre.

 


Pengarang :