Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap ketika program bual bicara di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONALPILIHAN MINGGUAN

MB: Tawar skim kebajikan, kejar kemajuan tanpa pinggir ekonomi rakyat

PETALING JAYA, 2 OGOS: Program kebajikan yang terkandung dalam Iltizam Selangor Penyayang (ISP) merupakan anjakan besar buat pentadbiran Selangor membangunkan ekonomi negeri.

Selain berterusan menarik pelaburan, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata ekonomi rakyat tidak dipinggirkan untuk memastikan mereka yang memerlukan dibantu demi kemakmuran bersama.

“Kita mulakan dengan Kasih Ibu Smart Selangor, kemudian dijadikan Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS). Jumlah bantuan dinaikkan dan ditambah lagi skim lain. Ini bukti ekonomi rakyat jadi tumpuan.

“Bermula reformasi 1998, kita cuba naikkan ekonomi negeri. Saat mencari pelaburan, kita tetap utamakan ekonomi rakyat supaya dapat bantu mereka yang memerlukan demi kemakmuran bersama,” katanya.

Bercakap dalam sesi bual bicara Ekonomi Madani: Pengalaman Selangor Untuk Malaysia di sini hari ini,  jelasnya, tindakan itu juga selaras kerangka Madani yang mengutamakan kebajikan rakyat.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari (kiri) bercakap ketika program bual bicara di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Kuala Lumpur pada 2 Ogos 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut Amirudin, konsep bersepadu dan holistik yang diperkenal kerajaan persekutan itu meletakkan  matlamat untuk membangunkan negara tanpa meminggirkan mana-mana pihak.

“(Sebagai contoh) kerajaan beri Sumbangan Tunai Rahmah. Matlamat untuk bangunkan negara tanpa meminggirkan sesiapa. Kita tidak mahu ada yang melukut (di tepi gantang). Tidak mahu ada yang terpaksa menagih untuk sambung kehidupan,” katanya.

Setakat ini, Selangor memiliki 46 pelan kebajikan menerusi ISP dengan peruntukan lebih RM600 juta setahun dan semua skim tersebut ditambah baik dari masa ke semasa.

BINGKAS, antara skim yang popular menawarkan bantuan bulanan RM300 khusus untuk isi rumah berpendapatan bulanan  RM5,000 dan ke bawah, dengan peruntukan sebanyak RM108 juta.

Dalam pada itu, Amirudin berkata pentadbirannya bersedia menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam dasar sedia ada sebagai langkah memacu ekonomi sejajar keperluan semasa.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan supaya teknologi berkenaan digunakan sebaiknya bertunjangkan akal demi memastikan inovasi bermanfaat untuk perkara berfaedah.


Pengarang :