Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bersama peserta sempena majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

MB: Tesla dialu labur di Selangor pada masa depan

SHAH ALAM, 13 OGOS: Tesla Inc dialu-alukan membuat pelaburan ke Selangor pada masa depan termasuk pembukaan pusat servis memandangkan syarikat milik hartawan terkemuka Elon Musk berhasrat meluaskan pasaran di rantau Asia.

Dato’ Menteri Besar berkata setakat ini syarikat gergasi industri kenderaan elektrik (EV) itu sudah menjalankan beberapa cabang operasi iaitu ibu pejabat di Cyberjaya selain membuka pusat pengecasan.

“Ibu pejabat dan pusat pengecasan sudah ada, yang lain-lain berkenaan R&D (penyelidikan dan pembangunan) dan perkilangan. Saya harap mereka akan datang.

“Pusat servis mungkin mereka akan buka selepas ini sebab mereka hendak luaskan pasaran di Asia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari selepas merasmikan Program Tuisyen Rakyat Selangor di sini hari ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berucap sempena majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Amirudin berkata kawasan di Sepang yang sepatutnya menjadi tapak kilang Tesla bakal diganti dengan pembangunan sektor semikonduktor yang giat berkembang di Selangor ketika ini.

“Kemasukan pelabur semikonduktor agak luar biasa. Kita sediakan ‘front-end’ dan taman reka bentuk litar bersepadu (IC). Dalam beberapa bulan kita mampu penuhkan taman IC pertama dan kita bersedia bangunkan taman kedua dalam masa terdekat,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia susulan penilaian semula rancangan pelebaran perniagaan Tesla di Asia Tenggara.

Susulan itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu disebabkan syarikat berkenaan sedang mengalami kerugian besar, dan tidak mampu bersaing dengan industri EV dari China.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat modul PTRS ketika melawat pameran selepas majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Pengarang :