Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis pelancaran Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) 2024 di Dewan Raja Muda Musa Seksyen 7, Shah Alam pada 13 Ogos 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
AGENDANASIONAL

MB: Tiada rombakan barisan EXCO, Selangor miliki pasukan mantap

SHAH ALAM, 13 OGOS: Tiada rombakan barisan EXCO dilakukan setakat ini memandangkan Selangor memiliki pasukan yang mantap, kata Dato’ menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata barisan EXCO menjalankan tanggungjawab dengan baik dan bekerjasama antara satu sama lain namun perlu memperbaiki prestasi masing-masing.

“Ini sebagai satu peringatan kepada semua supaya bekerja lebih baik dan pastikan janji kita dilaksanakan serta mencapai sasaran ditetapkan.

“Kalau tanya kemungkinan (rombakan EXCO), ia tetap ada pada bila-bila masa ikut kesesuaian kadang-kadang disebabkan sakit, kematian dan faktor-faktor lain. Kami gembira bekerja bersama-sama.

“Saya akui perlu ada peningkatan prestasi untuk kita memantapkan perkhidmatan selepas setahun. Minggu lepas saya ingatkan semua EXCO supaya tingkatkan prestasi dalam Dewan Negeri Selangor, pencapaian dan apa mereka mahu capai,” katanya ketika ditemui dalam satu program di sini hari ini.

Semalam portal Malaysia Gazette melaporkan pentadbiran Selangor sedang mempertimbang merombak barisan EXCO bagi meningkatkan lagi tahap kecekapan negeri melibatkan pemimpin Parti Keadilan Rakyat dan DAP.

Penggantian dijangka pada akhir bulan ini atau September bukan disebabkan EXCO sedia ada tidak menjalankan tugas dengan baik sebaliknya memberi peluang kepada individu yang lebih berpengalaman.


Pengarang :