BERITA UTAMAPENDAPATRENCANA

Memahami pelakuan asmara berdarah dari mata pakar kriminologi

Pembunuhan ratu cantik Jean Perera Sinnapa pada 1979 menggemparkan negara ketika itu. Mayatnya ditemui dalam kereta berdekatan Lapangan Terbang Subang, Selangor. Mangsa maut akibat tikaman di perut.

Kes sensasi itu mendapat liputan luas media termasuk dijadikan dokumentari program terkenal Lifetime Asia.

Penyanyi Along Spoon yang terkenal dengan lagu Rindu Serindu Rindunya dibunuh akibat cemburu. Mayatnya dalam guni ditemui di sebuah gaung di Jelebu, Negeri Sembilan.

“Mayat dan kaki juga diikat dengan tidak berpakaian. Sebelum dibunuh, si mati dipukul di dalam kereta dan ditinggalkan mayatnya pada tengah malam di tempat gelap dan motif pembunuhan kerana cemburu yang mana si mati dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isteri tertuduh,” kata Timbalan Pendakwa Raya Nahrah Dolah dalam prosiding mahkamah pada 16 November 2023.

Terbaharu, orang ramai ternanti-nanti perkembangan kes Nur Farah Kartini Abdullah, 25, yang mayatnya ditemui dalam ladang kelapa sawit di Hulu Selangor.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan pada 25 Julai, perselisihan dalam hubungan dipercayai punca lepasan Universiti Pendidikan Sultan Idris itu dibunuh.

Suspek Lans Koperal Muhammad Alif Monjani didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada 26 Julai ekoran kejadian itu.

Suspek kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah dibawa ke parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor pada 17 Julai 2024. Foto BERNAMA

Jika cinta, mengapa bunuh? Ada maut ditikam, dijerut, malah dibakar tanpa belas kasihan gara-gara mabuk asmara. Perasaan indah sebenarnya berupaya mendorong seseorang hilang pertimbangan.

Kejadian seumpama itu berpunca akibat penolakan ‘keghairahan’ yang digerakkan unsur egomania iaitu seseorang itu hanya memikirkan diri sendiri, menurut pakar kriminologi dan psikologi Universiti Sains Malaysia (USM) di Kubang Kerian, Kelantan.

Prof Madya Dr Geshina Ayu Mat Saat yang terlibat dalam bidang itu sejak 1998 juga mendedahkan individu sedemikian tidak kesah perbuatannya membahayakan orang lain asalkan keinginan mereka dipenuhi.

Namun dalam banyak kes, cinta menjadi seakan-akan permainan. Ini berlaku apabila seseorang itu mengharapkan balasan setara daripada insan yang dicintainya.

Sedangkan menurut beliau, cinta seharusnya tidak bersyarat, tidak menyeksa, tidak menyebabkan rasa bersalah, malah tidak sesekali ‘senjata’ atau alasan pembunuhan.

Faktor ‘ABCDEF’

Pelakuan ke arah jenayah akibat percintaan merangkumi faktor ‘ABCDEF’ iaitu Affect, Behaviour, Cognition, Desire, Emotion, dan Fantasy (Kesan, Tingkah Laku, Kognisi, Keinginan, Emosi dan Fantasi). Faktor tersebut mendasari pelakuan termasuk melanggar norma mahupun dorongan melanggar undang-undang.

“Obses kepada sesuatu atau seseorang perkara biasa selagi tidak membahayakan atau menyebabkan kemudaratan. Juga tidak menyebabkan kesan negatif, kerosakan, kehilangan kepada mana-mana individu atau objek yang ditaasub.

“Tetapi apabila taasub menghantui pemikiran, emosi dan perbuatan, ia boleh menjadi kecelaruan yang perlu didiagnos pakar psikiatri atau pakar psikologi klinikal,” katanya ketika dihubungi pada 31 Julai.

Sebaliknya, beliau menegaskan pelakuan jenayah termasuk pembunuhan bermotif asmara berlaku akibat persekitaran yang membuka peluang dan ruang.

“Sebenarnya di Malaysia lebih banyak kes pembunuhan tidak dirancang berbanding dirancang. Ini bercanggah dengan paparan dalam wayang dan cerita drama.

Meski ada elemen kemarahan melampau, beliau juga menolak kes jenayah asmara bersifat ngeri seperti memotong alat sulit dan membakar mayat.

“Tidak benar jenayah asmara bersifat ngeri. Kerat dan bakar mayat aktiviti selepas membunuh. Biasanya ia berlaku kerana suspek ingin menyembunyikan atau mengkaburkan insiden jenayah,” tambahnya.

Misalnya pembunuhan pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bakarudin Busu, 35, yang dibunuh dan mayatnya dibakar di Subang Jaya pada 12 Februari 2002.

Mayat Bakarudin ditemui dalam longkang separuh rentung. Bukti menunjukkan mangsa ditendang, ditumbuk dan ditetak hingga mati sebelum mayatnya dibakar pada malam kejadian.

Mangsa didakwa mengganggu teman wanita Sulkarnain Alias. Beliau dan seorang lagi Noorman Ab Wahab dijatuhi hukuman mati pada 2009 selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mendapati mereka bersalah membunuh Bakarudin, 35, (ketika kejadian) di Jalan SS19/6, Subang Jaya, pada jam 9.30 malam.

Dr Geshina Ayu juga menganggap pembunuhan menggunakan senjata api sama ada akibat cinta sebagai kes terpencil di Malaysia.

Sebaliknya, beliau mendapati pembunuhan secara tembakan banyak terjadi di negara yang peraturan memiliki senjata api kurang ketat misalnya, Denmark, Finland dan Belanda.

Cemburu

Namun, kejadian sedemikian ada berlaku di negara ini. Di Rompin, Pahang pada 24 Oktober 2017, kerana terpengaruh dengan novel cinta, lelaki warga Indonesia yang bercinta dengan isteri orang membunuh suami kekasihnya menggunakan senapang patah.

Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Daerah Rompin Deputi Superintendan Azli Mohd Noor, suspek mengakui kisahnya sama dengan novel cinta berkenaan, bahkan naskhah tersebut ada bersamanya ketika ditahan polis.

“Kajian mendapati kaedah tikam sebagai cara pembunuhan biasa dalam kalangan pembunuh lelaki di Malaysia kerana mudah mendapat objek tajam yang boleh dijadikan senjata,” katanya yang menambah undang-undang pemilikan senjata api di negara ini sangat ketat. Objek tumpul dan senjata tajam, bakar dan pukul lebih dominan dalam kes bermotif asmara.

Menurut Dr Geshina Ayu yang juga EXCO Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia lagi, 30 peratus kes bunuh kerana cemburu menggunakan objek tajam.

Sebanyak 82 peratus kes dilakukan terhadap orang yang dikenali. Sebahagian kes melibatkan tikaman pula berkait rapat elemen seks dengan pihak lain.

Beberapa kes tikaman bermotif asmara dicatat antaranya kejadian Nursyafikah Ahmad Ismail, 20, pekerja pasar raya di Kluang, Johor, yang maut selepas diserang bekas tunangnya akibat tidak puas hati dan cemburu.

Menurut pegawai penyiasat, Supritendan Ahmad Zamry Marinsah, suspek bertindak agresif dengan merangkul leher dan menolak mangsa jatuh ke arah motor.

“Ketika mangsa ingin bangun semula, suspek yang kelihatan dalam CCTV (kamera litar tertutup) dipercayai mengeluarkan pisau dan terus menikam rusuk kiri mangsa,” katanya pada 8 Mei 2024 dalam rancangan yang disiar stesen televisyen tempatan.

Mac lalu, seorang wanita yang juga model sambilan bersenjata sebilah pisau menikam mati kekasihnya di Kuala Langat, Selangor.

Mangsa meninggal dunia jam 7.25 pagi akibat kecederaan di pergelangan tangan kiri dan kaki kiri, kata Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor.

Tahun lalu, penduduk Kampung Sungai Limau, Sabak Bernam digemparkan dengan penemuan mayat wanita hamil empat bulan yang terbakar dalam kebun kelapa sawit.

Seorang lelaki berusia 21 tahun didakwa membunuh dan membakar wanita itu. Mangsa dibunuh kerana teman lelakinya mahu merahsiakan kehamilan hasil hubungan intim bersama mangsa.

 

 


Pengarang :