Aksi Faisal Halim dalam saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada 10 Ogos 2024. Foto Facebook Bernama
AGENDABERITA UTAMANASIONALPERSONALITIRENCANA

Menanti aksi Faisal dalam Piala Sultan Selangor, Piala FA

Sejak kejadian simbah asid yang kini memasuki hari ke-100, kelibat pemain kebangsaan Faisal Halim senantiasa dinanti-nanti peminat bola sepak tanah air khususnya penyokong Selangor FC.

Kemunculan semula pemain berusia 26 tahun selepas tiga bulan menjalani rawatan pada sesi panas badan dalam perlawanan aksi separuh akhir kedua Piala FA menentang Terengganu FC sedikit sebanyak mengubati rindu peminat.

Meski belum benar-benar pulih daripada kecederaan akibat insiden pada 5 Mei, Faisal dilihat teruja meski hanya sebagai pemain simpanan pada perlawanan di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 3 Ogos.

Tujuh hari kemudian, peminat bola sepak berpeluang menyaksikan aksi lincah penjaring gol terbaik Piala Asia 2023 di Qatar itu dalam perlawanan menentang Kelantan Darul Naim di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Meski bermain dalam waktu singkat selepas menggantikan pemain import Reziq Banihani pada minit ke-85, Faisal menunjukkan kemahirannya dan hampir menjaringkan gol apabila tandukannya mengenai palang gawang lawan pada minit ke-87.

“Alhamdulillah walaupun 10 minit agak bermakna buat saya dan pasukan. Saya perlu dapatkan semula kecergasan, namun menerusi semua data sebelum saya turun (ke padang) menunjukkan yang saya sudah bersedia.

“Perasaan saya ada suka dan sedih sebenarnya tapi ini saat yang ditunggu. Ini janji saya untuk pasukan kembali beraksi, alhamdulillah saya mahukan lebih lagi,” katanya seperti dilapor Bernama selepas aksi itu.

 

Dalam perlawanan berkesudahan kemenangan berpihak 2-0 kepada Selangor FC, pemain sayap itu memakai topeng khas bagi melindungi kesan kecederaannya.

Topeng itu rekaan khas sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya hasil kajian melalui BioApps Sdn Bhd berdasarkan nasihat Jabatan Pemulihan Kecederaan Sukan.

Ia diperbuat daripada bahan yang ringan dan nipis demi memberi keselesaan kepada Faisal untuk beraksi selain melindungi saraf dan luka pemain itu yang belum benar-benar pulih.

“Saya rasa kembali normal dan selesa untuk beraksi di padang. Mungkin pada pandangan masyarakat, pemakaian topeng muka tersebut agak janggal tetapi saya memerlukannya sehingga luka dan parut muka saya kembali pulih,” katanya seperti dilapor Berita Harian pada 11 Ogos.

Dalam rakaman temu bual khas oleh Selangor FC baru-baru ini, Faisal turut menyatakan rasa terharu apabila bekas pengendali skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon menitip pesanan kepadanya untuk bangkit dari tragedi berkenaan.

Usaha keras yang dilakukan pengurusan Selangor FC pula menyaksikan Faisal pulih lebih cepat daripada kecederaan melecur tahap empat di beberapa bahagian tubuhnya sekali gus membuka ruang kepada untuk beraksi.

Orang ramai berpeluang menyaksikan kelincahan Faisal yang dijangka membuat kemunculan khas dalam kejohanan berprestij Piala Sultan Selangor (TSSC) menentang Pilihan Singapura di Stadium Merdeka pada 17 Ogos.

“Saya ada berjumpa Faisal bersama pemain Selangor lain. Beliau bersedia untuk beraksi pada perlawanan 17 Ogos nanti,” kata Pengerusi dan Pengurus TSSC Tan Sri Abd Karim Munisar pada 6 Ogos.

Selain perlawanan tersebut, Faisal juga ada kemungkinan beraksi dalam perlawanan akhir Piala FA pada 24 Ogos menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), lawan sama dalam Piala Sumbangsih yang menyaksikan Selangor FC menarik diri ekoran kejadian simbah asid lima hari sebelum perlawanan.

Pemain Bolasepak Selangor FC, Faisal Halim bercakap kepada media ketika sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC, Shah Alam pada 13 Jun 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

EXCO Sukan Najwan Halimi percaya kelincahan Faisal berupaya memberi kelebihan kepada Selangor FC untuk mengatasi cabaran pasukan JDT seterusnya menjulang Piala FA buat kali keenam.

Beliau berharap pemain yang dikenali sebagai Mickey itu diturunkan dalam kesebelasan utama tetapi keputusan akhir sepenuhnya di tangan Ketua Jurulatih Selangor FC Nidzam Jamil.

“Kita tidak sesekali meremehkan pasukan lawan, JDT pun memang ada kekuatan dan keupayaannya sendiri tetapi kita melihat ada ruang dan peluang Selangor FC untuk merangkul kejuaraan.

“Namun, kita harap Selangor FC boleh mempertimbang untuk menyenaraikan Faisal dalam tonggak kesebelasan utama, bergantung kepada tahap kecergasan beliau,” katanya pada 11 Ogos.


Pengarang :