Yusof Mokhtar, 35, menyiram air mawar ke pusara isterinya, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, selepas selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas pada 19 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Menteri: Kebajikan keluarga Cikgu Istiqomah diberi perhatian

PASIR MAS, 20 OGOS: Keluarga terutama anak-anak Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi yang masih bersekolah akan diberi khidmat psikososial termasuk kaunseling secara berterusan, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Beliau berkata pihaknya sudah menyediakan komitmen bagi sokongan psikososial kepada keluarga berkenaan.

“Kita harap ia (kaunseling) diberi secara berterusan dan saya minta Ketua Pengarah (Pendidikan) melihat keperluan untuk menyokong dari pelbagai aspek khususnya bagi anak yang masih bersekolah.

“Saya merakamkan takziah dan pada kesempatan ini kita telah sampaikan sumbangan bagi memberi sokongan kepada keluarga termasuk daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga Allahyarham Istiqomah di kediaman mereka di Kampung Kubang Badak di sini hari ini.

Fadhlina berkata selain sumbangan YGTHO, pihaknya turut melihat keperluan lain termasuk pemberian pencen untuk keluarga serta kebajikan untuk anak-anak Allahyarham.

“Sumbangan kebajikan ini turut diberikan kepada anak yang masih bersekolah. Kejadian ini memberi kesan yang menyayat hati apatah lagi Cikgu Istiqomah seorang guru yang sangat berdedikasi dan memberi komitmen sepenuhnya sebagai pendidik.

“Allahyarham sudah lama berkhidmat sebagai pendidik di sekolah rendah di Johor dalam mata pelajaran Reka Bentuk dan Teknologi (RBT) dan seorang yang komited dengan kerjanya,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :