Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming melihat replika rumah dalam program Madani Rakyat di Kampung Air Panas Kerling pada 13 Julai 2023. Foto MOHD ARIF/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Menteri: KPKT pulih 704 projek rumah sakit takat Jun

KUALA LUMPUR, 1 OGOS: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memulihkan 704 projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai menerusi Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFS) setakat Jun lalu.

Menterinya Nga Kor Ming berkata ia melibatkan pemulihan 82,101 unit rumah, dengan nilai pembangunan kasar RM58.94 bilion.

Beliau berkata KPKT akan terus mengambil tindakan penambahbaikan supaya dapat mengurangkan projek bermasalah seterusnya menyasarkan tiada lagi projek perumahan yang terbengkalai menjelang 2030.

“KPKT sedang memperhalusi Akta 118 untuk mengukuhkan tindakan kawalan yang lebih baik sebagai pencegahan awal serta tindakan jangka panjang bagi memastikan tiada lagi projek perumahan swasta sakit dan terbengkalai, antaranya menguatkuasakan sekatan perjalanan ke luar negara bagi pemaju atau ahli lembaga pengarah yang disenarai hitam,” katanya pada sesi soal jawab Dewan Negara hari ini.

Nga berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Datuk Dr Ahmad Azam Hamzah yang ingin tahu keberkesanan polisi dan undang-undang sedia ada dalam menangani isu bangunan tinggal dan projek terbengkalai, cadangan penambahbaikan dan kaedah kementerian menangani isu bangunan tinggal.

Beliau berkata KPKT juga akan menyediakan definisi dan peruntukan perundangan khusus bagi menjelaskan peranan dan tanggungjawab pembubar yang mengambil alih projek perumahan swasta terbengkalai secara terperinci.

Sementara itu Nga berkata pindaan Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dapat memastikan hak pembeli dan pemaju sentiasa seimbang.

Bagi menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang ingin tahu jumlah permohonan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) sepanjang 2023, beliau berkata 23,569 permohonan telah diluluskan tahun lalu, dengan nilai pinjaman berjumlah RM5.9 bilion, dan setakat Jun ini pula 57,752 permohonan pinjaman telah diluluskan.

Nga berkata pinjaman itu yang secara keseluruhanya bernilai RM12.78 bilion, telah diluluskan sepanjang pelaksanaan SJKP mulai 2008.

“Kerajaan Madani sentiasa fokus dan komited untuk melaksanakan dan menambah baik pelbagai inisiatif bagi memastikan setiap rakyat mempunyai akses terhadap perumahan yang berkualiti dan mampu dimiliki,” katanya.

– BERNAMA


Pengarang :