Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Zuki Ali mengimbas kad perakam waktu sebelum meninggalkan Jabatan Perdana Menteri pada 9 Ogos 2024. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Mohd Zuki bersara selepas 32 tahun, sedia berkhidmat, kongsi pandangan demi negara

PUTRAJAYA, 9 OGOS: Tan Sri Mohd Zuki Ali menyatakan kesediaan untuk terus berkhidmat demi negara, meskipun sudah bersara daripada perkhidmatan awam secara rasmi hari ini.

Beliau yang menamatkan khidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara berkata tempoh 32 tahun tujuh bulan dalam perkhidmatan awam, satu pengalaman mencabar dan manis buatnya.

“Saya rasa syukur kerana sepanjang tempoh berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara, banyak pengalaman saya lalui dan hikmah saya dapat.

“Saya sempat berkhidmat dengan dua Yang di-Pertuan Agong dan empat Perdana Menteri…Insya-Allah saya bersedia untuk berikan apa juga khidmat, nasihat, pandangan jika diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas sesi clock out di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Turut hadir Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar yang dilantik Ketua Setiausaha Negara yang baharu berkuat kuasa 12 Ogos.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berkata Mohd Zuki akan diberikan tugasan penting lain bagi membantu kerajaan, namun tidak memperincikannya.

Sementara itu, Mohd Zuki merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri, barisan Jemaah Menteri dan warga perkhidmatan awam yang membantunya ketika berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Negara.

“Warga penjawat awam perlu melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin bagi menjayakan aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Mohd Zuki turut merakamkan ucapan tahniah kepada Shamsul Azri atas pelantikan beliau sebagai Ketua Setiausaha Negara ke-16.

“Saya amat yakin dan percaya perkhidmatan awam akan terus cemerlang dan gemilang di bawah kepimpinan Shamsul Azri,” katanya.

Dalam hantaran di laman Facebooknya, beliau turut merakam penghargaan kepada media yang sentiasa memberi sokongan sepanjang memegang amanah sebagai Ketua Setiausaha Negara.

Mohd Zuki, 62, mula memegang jawatan KSN pada 31 Disember 2019 dan dilantik semula secara kontrak selama dua tahun berkuat kuasa dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.

– BERNAMA


Pengarang :