Keindahan panorama Bukit Antarabangsa, Ampang pada waktu malam dengan kilauan lampu neon berwarna-warni yang bakal menjadi tarikan baharu pelancong. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR
BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Panorama bakal jadi tarikan baharu Tahun Melawat Selangor 2025

AMPANG, 11 OGOS: Taman riadah Panorama di Bukit Antarabangsa di sini, bakal menjadi tarikan pelancongan terbaharu sempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Dr Ani Ahmad berkata lokasi berkeluasan 1.52 meter persegi itu menjadi kunjungan penduduk sekitar yang ingin melihat pemandangan indah Kuala Lumpur.

“Tempat ini kini menjadi tular di media sosial kerana lokasinya yang strategik untuk pengunjung bergambar dan melihat pemandangan matahari naik atau terbenam dengan latar belakang menara berkembar KLCC.

“MPAJ turut menambah kemudahan untuk pengunjung dengan menaik taraf tempat letak kereta dan menyediakan tempat duduk demi keselesaan orang ramai,” katanya kepada pemberita, malam tadi.

Beliau ditemui pada majlis perasmian Panorama yang disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari. Hadir sama wakil rakyat Bukit Antarabangsa Mohd Kamri Kamaruddin.

Dr Ani menambah, Panorama merupakan lokasi runtuhan cerun pada 1990-an yang kemudian dibangunkan semula sebagai kawasan riadah dengan kos RM16.5 juta daripada Kerajaan Negeri.

Menurutnya, MPAJ bercadang membina pintu mercu tanda dan kafe di lokasi berkenaan pada masa hadapan sekali gus menjadikannya persona baharu Ampang.

“Pada tahun 90-an berlakunya runtuhan cerun di sini dan kemudian Kerajaan Negeri bangunkan semula menerusi projek naik taraf bermula 2016 dan siap sepenuhnya pada 2018.

“Kawasan ini sentiasa dikunjungi orang ramai dan kita nampak potensi Panorama selain perlu adakan pelbagai aktiviti menarik lagi. Namun kita juga tetap ambil kira sensitiviti penduduk sekitar,” katanya.

Panorama yang turut memiliki trek jogging berbukit sepanjang 300 meter dibuka setiap hari bermula jam 6 pagi hingga 10 malam dengan tiket bayaran tempat letak kereta serendah RM2 setiap jam.


Pengarang :