Pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan perancangan bagi menghadapi banjir di Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang, Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Paras air di Klang, Petaling berada pada tahap bahaya

SHAH ALAM, 20 OGOS: Paras air di tiga stesen iaitu Kampung Delek dan Tugu Keris, Klang serta satu di daerah Petaling dilapor berada pada tahap bahaya setakat jam 4.30 petang tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menerusi laman sesawang memaklumkan bacaan paras air di stesen Kampung Delek mencatat 1.52 meter berbanding normal 0.1 meter setakat jam 4.30 petang.

Manakala paras air stesen Tugu Keris, mencatat bacaan 4.41 meter berbanding normal 1.7 meter pada masa sama.

Satu stesen di daerah Petaling iaitu Kampung Melayu Subang turut mencatat paras bahaya iaitu 18.18 meter berbanding normal 14.6 meter setakat 4.30 petang

Selain itu paras air stesen Kampung Jawa berada pada tahap waspada dengan bacaan paras air 4.32 meter berbanding normal 3 meter setakat jam 4.45 petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar ketika dihubungi memaklumkan tiada panggilan kecemasan diterima berhubung banjir susulan kenaikan paras air setakat ini.

Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat melanda tujuh daerah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak, Petaling dan Kuala Langat sehingga jam 6 petang ini.


Pengarang :