Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ampang, Kuala Lumpur pada 6 Oktober 2022. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Paras air empat stesen catat paras bahaya, banjir kilat di Padang Jawa

SHAH ALAM, 20 OGOS: Paras air di empat stesen iaitu Bandar Klang, Kampung Delek dan Tugu Keris, Klang serta satu di daerah Gombak dilapor pada tahap bahaya setakat jam 6.45 petang tadi.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri menerusi laman sesawang memaklumkan bacaan paras air di stesen Bandar Klang mencatat 3.11 meter berbanding normal 2.2 meter setakat jam 6.30 petang.

Manakala paras air stesen Kampung Delek mencatat 1.8 meter berbanding normal 0.1 meter pada 6.45 petang dan stesen Tugu Keris mencatat bacaan 4.49 meter berbanding paras normal 1.7 meter.

Satu stesen di daerah Gombak iaitu Kampung Melayu Seri Kundang turut mencatat paras bahaya iaitu 24.15 meter berbanding normal 20.8 meter setakat 6.30 petang.

Selain itu pada masa sama paras air di enam stesen melibatkan tiga di daerah Klang dan masing-masing satu di Kuala Selangor, Petaling dan Gombak berada pada tahap amaran.

Paras air di enam stesen berada pada tahap waspada melibatkan dua di Klang dan masing-masing satu di daerah Kuala Langat, Hulu Selangor, Sabak Bernam dan Gombak.

Sementara itu banjir kilat dilaporkan berlaku berhampiran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Padang Jawa, Klang susulan hujan berterusan petang tadi.

Berikutan itu trafik dilaporkan perlahan menghala stesen KTM Padang Jawa serta arah bertentangan menuju ke Seksyen 7, Shah Alam.


Pengarang :