Aksi Mohamad Aniq Kasdan di Sukan Olimpik Paris 2024 pada 7 Ogos 2024. Foto Facebook Olympic Council of Malaysia
AGENDASUKANKINI

Paris 2024: Hanya 1kg pisahkan Mohamad Aniq dari podium Olimpik

Daripada Vikneswaran Raman

PARIS, 7 OGOS: Impian Mohamad Aniq Kasdan untuk muncul atlet angkat berat Malaysia pertama meraih pingat di Sukan Olimpik Paris 2024 tidak kesampaian apabila hanya satu kilogram (1kg) memisahkannya dari podium.

Bagaimanapun, badang berusia 22 tahun dari Segamat yang menamatkan saingan di tempat keempat itu mencatatkan rekod baharu kebangsaan dengan angkatan keseluruhan 297kg dalam acara berlangsung di South Paris Arena 6, hari ini.

Mohamad Aniq memulakan angkatan snatch dengan bebanan 126kg pada percubaan pertama tetapi tidak dapat menyempurnakan angkatan kedua dengan bebanan 130kg, sebelum berjaya melakukannya pada percubaan terakhir untuk memperbaharui rekod kebangsaan 129kg milik Muhamad Aznil Bidin.

Ia meletakkan beliau di kedudukan keempat, manakala juara bertahan Li Fabin dari China mencatatkan rekod temasya dengan angkatan 143kg bagi snatch, iaitu 1kg mengatasi standard Olimpik untuk kedudukan teratas.

Bagi clean & jerk pula, pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 bagi kategori 55kg itu, membuka saingan dengan angkatan 167kg.

Namun, usahanya untuk mencabar pingat dengan memperbaiki rekod kebangsaan clean & jerk menerusi bebanan 174kg pada percubaan kedua dan ketiga tidak dapat disempurnakan.

Mohamad Aniq sebelum ini memegang rekod kebangsaan bagi clean & jerk dengan catatan 170kg dan keseluruhan 296kg.

Sementara itu, Li mempertahankan emasnya dengan jumlah angkatan 310kg manakala perak dan gangsa masing-masing menjadi milik Theerapong Silachai dari Thailand dengan muatan 303kg (132kg, 171kg) dan wakil Amerika Syarikat Hampton Morris dengan angkatan 298kg (126kg, 172kg).

Pencapaian terbaik Malaysia dalam sukan angkat berat di pentas Olimpik adalah apabila Tan Kim Bee meraih kedudukan keenam pada edisi Melbourne 1956 dengan angkatan 395kg bagi kategori 90kg lelaki.

– BERNAMA


Pengarang :